
Gambar: Threads
Tular di media sosial satu perkongsian yang mencetuskan perbincangan hangat mengenai etika dalam bidang kesihatan mental. Semuanya bermula apabila seorang pengguna platform Threads bertanyakan soalan kepada para kaunselor dan pakar psikiatri.
Advertisement
Pengguna tersebut meminta mereka berkongsi ‘short story paling dark’ daripada pesakit yang pernah dirawat.
Soalan itu segera menarik perhatian ramai, namun jawapan daripada seorang pakar psikologi yang disahkan akaunnya menjadi paling menonjol dan mendapat ribuan tanda suka daripada netizen.
Dalam respons ringkas tetapi tegas, Dr. Nazrul Azizi menegaskan bahawa kisah pesakit bukan bahan untuk dikongsi di media sosial, walaupun tanpa menyebut nama. Menurutnya, sebagai kaunselor, psikologis, psikiatri atau jururawat, setiap cerita yang dikongsi oleh klien merupakan amanah yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun identiti pesakit tidak didedahkan, Allah tetap mengetahui siapa yang dimaksudkan dan sepatutnya hanya dua pihak yang benar-benar mengetahui kisah tersebut iaitu pengamal perubatan dan klien.

Gambar Hiasan
Tambahnya lagi, dalam profesion kesihatan mental, menjaga kerahsiaan adalah perkara asas yang tidak boleh dikompromi. Beliau mengingatkan agar jangan sesekali membuka aib atau kisah sulit seseorang hanya untuk dijadikan konten atau menaikkan diri sendiri di media sosial.
Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah boleh menjejaskan kepercayaan pesakit terhadap profesional kesihatan mental.
Jawapan tersebut menerima lebih 11,000 tanda suka dan ratusan perkongsian semula, dengan ramai netizen memuji pendirian tegas itu.
Rata-rata menyifatkan respons berkenaan sebagai satu peringatan penting bahawa walaupun dunia digital sering menggalakkan perkongsian cerita sensasi, nilai amanah dan kerahsiaan tetap perlu diutamakan.
Ada juga yang berpendapat sikap profesional seperti inilah yang membuatkan pesakit berasa selamat untuk mendapatkan bantuan.
Dalam dunia yang semakin obses dengan konten dan pendedahan peribadi, jawapan ringkas “tak boleh” itu sebenarnya membawa mesej besar bahawa tidak semua cerita layak dijadikan tontonan dan untuk bacaan umum.
Sumber: Threads (drnazrulazizi)