
Foto: Tangkap layar TikTok
Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan ibadah, lebih-lebih lagi apabila memasuki 10 malam terakhir yang sering menjadi tumpuan ramai.
Advertisement
Pada waktu tersebut, masjid kebiasaannya dipenuhi jemaah yang datang untuk beriktikaf, membaca al-Quran serta menghidupkan malam sehingga menjelang waktu Subuh.
Namun begitu, keadaan badan yang keletihan dan rasa mengantuk selepas berbuka kadangkala membuatkan seseorang sukar mengekalkan tenaga untuk terus beribadah.
Disebabkan itu, sebuah pusat komuniti Islam di Maryland, Amerika Syarikat mengambil pendekatan sedikit berbeza apabila jemaahnya diajak melakukan senaman tekan tubi selepas solat tarawih.
Menariknya, aktiviti tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah menjadi kebiasaan di Pusat Masyarakat Islam Baltimore sejak beberapa tahun lalu.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh pihak pusat komuniti berkenaan, imam di situ dilihat memimpin jemaah melakukan senaman tersebut bagi memastikan mereka kekal bertenaga sebelum meneruskan ibadah sepanjang malam.
Lebih mencuri perhatian, penyertaan pada tahun ini dilihat semakin meriah apabila bukan sahaja jemaah lelaki, malah wanita juga turut serta melakukan tekan tubi di ruang solat wanita di tingkat atas.
Dalam kapsyen yang dikongsikan, mereka turut menjelaskan bahawa aktiviti itu tercetus daripada peringatan imam mengenai kepentingan menjaga kekuatan diri.
“Imam mengingatkan semua orang bahawa mukmin yang kuat adalah lebih baik daripada mukmin yang lemah. Kini kita mempunyai tradisi pasca tarawih yang baharu, MasyaAllah,” tulis mereka.
@isbalrahmah The Push-Ups Imam reminded everyone “the strong believer is better than the weak believer” and now we have a new post-Taraweeh tradition 🫢 MashaAllah . . . We are the Islamic Society of Baltimore (ISB) a masjid (mosque) in Maryland, USA. Follow us for Muslim content including the popular Asking Muslims series, local updates and event recaps, inspiration and knowledge from our Scholars and Teachers, and more. Join our email list (link in bio) for event updates! . #muslimhumor #masjid #ramadan #ramadan2026 #muslimtiktok ♬ original sound - Islamic Society of Baltimore
Melalui rakaman video tersebut, jemaah daripada pelbagai lapisan umur kelihatan bersemangat melakukan tekan tubi sambil berselawat dan berzikir di antara setiap ulangan senaman.
Imam berkenaan juga dilihat mampu melakukan sebanyak 61 kali tekan tubi secara berterusan sekali gus mencetuskan semangat kepada jemaah lain untuk turut mencuba.
Menurut pihak pusat komuniti itu lagi, sesi senaman berkenaan dilakukan pada setiap malam ganjil selepas solat witir.
“Jika anda ingin sertai, tekan tubi ini dilakukan pada setiap malam ganjil selepas solat witir di Pusat Masyarakat Islam Baltimore. Berapa kali anda boleh lakukan?” tulis mereka lagi.
Meninjau ruangan komen, ramai yang kagum melihat semangat para jemaah, malah ada yang terhibur apabila warga emas turut dilihat bersungguh-sungguh melakukan senaman tersebut.
Ada juga yang menyifatkan aktiviti berkenaan sebagai cara baik untuk memanaskan badan sebelum bangun menunaikan solat tahajud atau bersedia untuk solat Subuh.
Selain itu, tidak kurang yang berpendapat inisiatif seperti ini mampu menarik lebih ramai orang untuk hadir dan mengimarahkan masjid.
Semoga segala usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan ini diberkati serta mendapat ganjaran daripada Yang Maha Pengasih, selain dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus beribadah kepada-Nya.
Sumber: TikTok @isbalrahmah