
Menjelang musim perayaan, media sosial sering dipenuhi dengan pelbagai perkongsian menyentuh hati. Antaranya gambar baki akaun bank yang tinggal sedikit, luahan tidak mampu membeli baju raya atau status yang seolah-olah memberi isyarat memerlukan bantuan kewangan.
Namun di sebalik simpati yang timbul, ada juga peringatan penting dalam Islam berkaitan perbuatan meminta sedekah tanpa keperluan yang benar-benar mendesak.
Advertisement
Dalam Islam, meminta sedekah bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan sesuka hati, lebih-lebih lagi jika seseorang itu masih mampu bekerja dan menyara dirinya sendiri.
Rasulullah SAW telah memberi peringatan tegas mengenai perkara ini melalui sabda Baginda:
“Tidak halal menerima sedekah bagi orang kaya dan orang yang sihat tubuh badannya (untuk bekerja).”
> Riwayat al-Nasaei (2597)
Hadis ini menjelaskan bahawa sedekah sebenarnya diperuntukkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti fakir, miskin dan mereka yang berada dalam kesempitan hidup.

Lebih berat lagi, Nabi Muhammad SAW turut memberi amaran keras kepada individu yang meminta harta orang lain semata-mata untuk memperkayakan diri tanpa sebarang keperluan mendesak.
“Sesiapa yang meminta harta manusia untuk memperkayakan dirinya, maka sesungguhnya dia meminta bara api neraka.”
> Riwayat Muslim (1041)
Peringatan ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan menjadikan simpati orang ramai sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang adalah perkara yang sangat ditegah dalam Islam.
Dalam era media sosial hari ini, ramai yang mungkin berkongsi kisah hidup dengan niat sekadar meluahkan perasaan. Namun kita juga perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan budaya meminta-minta secara halus yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang.

Pada masa yang sama, masyarakat juga disarankan untuk terus bersedekah kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim dan mereka yang berada dalam kesempitan hidup.