Skip to main content

Advertisement

Budaya & Masyarakat

Syahid, Ustaz & Dermawan… Tetapi Akhirnya Ke Neraka? Ini Peringatan Tentang Riyak

Gambar Hiasan

Di zaman media sosial hari ini, kita sering melihat orang berkongsi momen ibadah tidak kira dalam bentuk gambar sedang iktikaf di masjid, video bangun tahajjud, hingga status tentang khatam Al-Quran. Niat asal mungkin baik, tetapi ulama selalu mengingatkan satu perkara yang sangat halus namun berbahaya iaitu riyak.

Advertisement

Riyak bermaksud melakukan ibadah kerana ingin dilihat, dipuji atau dihormati oleh manusia, bukan semata-mata kerana Allah SWT.

Hakikatnya, dalam sebuah hadis yang sangat menggerunkan, Rasulullah SAW pernah menceritakan tentang tiga golongan manusia yang pada zahirnya sangat mulia, namun pengakhiran mereka amat mengejutkan.

 Syahid di medan jihad

Seorang lelaki yang mati syahid dibawa di hadapan Allah SWT. Ketika ditanya tentang amalannya, dia menyebut bahawa dia telah berjihad sehingga gugur di jalan Allah.

Namun Allah berfirman bahawa dia berbohong. Dia sebenarnya berperang supaya manusia berkata dia berani dan gagah. Gelaran itu memang dia dapat di dunia. Tetapi di akhirat, dia diperintahkan untuk dicampakkan ke dalam neraka.

Orang alim yang mengajar Al-Quran

Golongan kedua ialah seorang lelaki yang di dunia terkenal sebagai orang berilmu. Dia belajar, mengajar Al-Quran dan menyebarkan ilmu agama.

Apabila ditanya, dia berkata semua itu dilakukan kerana Allah. Tetapi Allah berfirman bahawa dia melakukannya supaya manusia memanggilnya alim, ustaz atau orang berilmu. Pujian itu sudah dia peroleh di dunia. Akhirnya dia juga dicampakkan ke dalam neraka.

Orang kaya yang banyak bersedekah

Golongan ketiga ialah seorang lelaki yang sangat pemurah. Dia menggunakan hartanya untuk bersedekah dan membantu ramai orang.

Namun apabila Allah menyoalnya, kebenaran terdedah. Dia bersedekah supaya manusia berkata dia seorang dermawan dan pemurah. Gelaran itu memang sudah diberi manusia kepadanya. Tetapi di akhirat, dia juga dicampakkan ke dalam neraka.

Kisah ini menjadi peringatan besar kepada umat Islam bahawa bukan semua amalan yang kelihatan hebat di mata manusia diterima oleh Allah.

Kadang-kadang yang membuatkan ia rosak bukan kerana amalannya, tetapi niat di dalam hati.

Sebab itu para ulama sering menasihati supaya berhati-hati ketika berkongsi amalan ibadah secara terbuka. Tak salah berkongsi jika niatnya untuk memberi inspirasi, tetapi lazimnya tanpa kita sedari, riyak adalah penyakit hati yang sangat halus.

Pada akhirnya, perkara paling penting dalam setiap ibadah ialah ikhlas kerana Allah SWT.

Gambar Hiasan

Kerana di sisi Allah, amal yang kecil tetapi ikhlas jauh lebih bernilai daripada amal besar yang dipenuhi riak.

Semoga Allah SWT menjaga hati kita daripada riyak, memelihara keikhlasan dalam setiap ibadah dan menerima segala amal yang kita lakukan.

Rujukan: Hadis Riwayat Muslim (No. 1905)

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda