Skip to main content

Advertisement

Budaya & Masyarakat

Fenomena Luar Biasa! Qiamulail di Masjid TNB Dipenuhi Anak Muda, Siap Ada ‘Competitor’ Kejar Syurga

Gambar: Threads (@izrelismail)

Suasana qiamulail di sebuah masjid milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila majoriti jemaah yang hadir rupanya terdiri daripada golongan muda.

Advertisement

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna media sosial yang mengakui dirinya agak terkejut melihat kehadiran anak-anak muda yang memenuhi ruang masjid untuk menunaikan ibadah malam.

Menurut perkongsian tersebut, bukan sahaja saf lelaki dipenuhi golongan muda, malah jemaah wanita juga kelihatan sama ramai.

“Terkejut aku qiamulail dekat Masjid TNB ni mostly orang muda dan ramai macam ni. Jemaah perempuan pun sama ramai,” tulisnya.

Apa yang lebih menarik perhatian adalah cara individu itu melihat situasi tersebut dari sudut yang cukup positif. Katanya, kehadiran ramai anak muda itu ibarat ‘competitor’ dalam usaha merebut kejayaan dunia dan akhirat.

Namun jelasnya, perkataan competitor yang dimaksudkan bukanlah persaingan negatif, sebaliknya perlumbaan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Dalam Islam sendiri, konsep berlumba melakukan amal soleh sememangnya digalakkan sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 148 yang menyeru umat manusia untuk ‘berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.’

Perkongsian itu turut disertai dengan refleksi diri yang cukup jujur.

“Amazing eh muda-muda dah ada drive untuk bangun qiamulail. Aku dulu umur-umur diorang ni sahur makan kurma pun sambil tutup mata,” katanya berseloroh.

Ramai netizen turut bersetuju bahawa fenomena semakin ramai anak muda mendekati masjid terutama pada waktu malam merupakan satu perkembangan yang sangat menggembirakan.

Lebih-lebih lagi ketika memasuki fasa 10 malam terakhir Ramadan, waktu yang sering dikaitkan dengan peluang meraih pahala berlipat kali ganda serta memburu malam Lailatul Qadar.

Bagi sesetengah orang, melihat ramai anak muda sanggup berjaga malam untuk qiamulail mungkin kelihatan biasa. Namun hakikatnya, ia menjadi tanda bahawa kesedaran spiritual dalam kalangan generasi muda semakin meningkat.

Mungkin benar seperti kata perkongsian itu bahawa mereka bukan sekadar jemaah di masjid, tetapi sebenarnya competitor kita dalam perlumbaan menuju kejayaan dunia dan akhirat.

Sumber: Threads (@izrelismail))

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda