Skip to main content

Advertisement

Berita

“Amal Jariah Terakhir…” - Kisah Bapa Anak OKU, Allahyarham Syukri Bazli Dermakan Hati, Ginjal, Kulit dan Tulang

Foto: Facebook

Di Hospital Sultanah Nur Zahirah, satu kisah penuh emosi dan pengorbanan telah meruntun hati ramai apabila Allahyarham Muhammad Syukri Bazli menjadi penderma organ selepas disahkan mengalami kematian otak.

Advertisement

Arwah yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung bukan sekadar seorang bapa kepada tiga anak, malah kisahnya menjadi lebih menyentuh hati apabila salah seorang anaknya merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Suasana pilu turut dirasai apabila proses penghormatan terakhir oleh petugas kesihatan tular, memperlihatkan detik penuh hormat sebelum Allahyarham dibawa untuk proses pembedahan pendermaan organ.

Selepas proses tersebut dijalankan, beberapa organ telah berjaya didermakan termasuk hati, buah pinggang, tulang serta tisu kulit bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Menurut laporan, satu buah pinggang dihantar ke Hospital Selayang, manakala satu lagi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Organ hati pula dibawa ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur menggunakan helikopter sejurus selepas prosedur selesai.

Foto: Facebook

Dalam perkongsian aktivis masyarakat, Allahyarham merupakan antara penderma organ utama bagi tahun ini di hospital berkenaan dan keseluruhan proses pemindahan organ telah disempurnakan pada waktu tengah hari.

Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peroh, Ajil pada malam yang sama, meninggalkan seorang isteri serta tiga anak termasuk seorang anak istimewa.

Pemergian Allahyarham berlaku secara mengejut selepas beberapa hari mengalami simptom seperti masalah gastrik sebelum rebah ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan.

Beliau sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran tomyam dan sempat menerima rawatan di hospital sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.06 tengah malam.

 

@nfhr_02

 

♬ bunyi asal - meknaa_lyrics

 

 

Menurut ahli keluarga, keputusan untuk mendermakan organ bukan sesuatu yang mudah, namun dibuat selepas perbincangan bersama.

“Bukan satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan, tetapi memandangkan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain, kami reda,” kata bapa saudara Allahyarham.

Walaupun berat menerima kehilangan, keluarga akhirnya bersetuju meneruskan proses pendermaan tersebut sebagai satu bentuk sumbangan terakhir arwah kepada orang lain.

 

 

 

Dalam masa yang sama, keluarga turut menyifatkan pengorbanan itu sebagai satu legasi kebaikan yang ditinggalkan arwah.

“Walaupun dia tiada sejarah penyakit kronik, sifatnya yang sentiasa rela berkhidmat kepada orang lain membuatkan kami memutuskan untuk meneruskan pendermaan organ ini sebagai amal jariah terakhirnya,” tambah beliau.

Pemergian ini jelas meninggalkan kesedihan mendalam, namun dalam masa yang sama memberi harapan baharu kepada beberapa pesakit yang menerima organ tersebut.

Sumber: Instagram @kementeriankesihatanmalaysia, TikTok @nfhr_02

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda