Skip to main content

Advertisement

Gaya Hidup

Risau Ibu Bapa Hilang Arah di Tanah Suci? Ini Tips Penting Anak Perlu Sampaikan Sebelum Mereka Tunaikan Haji

Foto: Kosmo

Pengalaman menunaikan haji atau umrah sering disertai pelbagai cerita, termasuk situasi jemaah yang hilang arah ketika berada di Tanah Suci. Perkara ini sebenarnya bukan luar biasa, sebaliknya antara cabaran biasa terutama bagi mereka yang pertama kali datang dan masih cuba membiasakan diri dengan suasana sekeliling.

Advertisement

Jadi, jika perkara ini berlaku, ada beberapa langkah penting yang boleh diambil untuk memastikan keselamatan dan memudahkan proses mendapatkan bantuan.

  1. Rujuk Lanyard Sebagai Panduan Utama

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, kes jemaah tersalah laluan sering berlaku apabila mereka masuk dan keluar melalui pintu berbeza, termasuk laluan seperti Pintu Marwah.

Bagi jemaah yang terpisah daripada kumpulan atau tidak biasa dengan kawasan sekitar, lanyard yang diberikan oleh Tabung Haji boleh dijadikan rujukan utama. Pada lanyard tersebut terdapat nombor telefon pusat bantuan yang boleh dihubungi dengan segera untuk memaklumkan keadaan.

  1. Elakkan Berjalan Tanpa Arah

Jika tersedar anda sudah tersasar, jangan panik atau terus bergerak tanpa tujuan di sekitar kawasan masjid. Tindakan itu hanya akan menyukarkan usaha mencari anda.

Sebaliknya, pilih lokasi yang mudah dikenali seperti pintu masuk utama dan kekal berada di situ. Contohnya, pintu bernombor atau pintu terkenal seperti Pintu Raja Fahd dan Pintu Raja Abdul Aziz. Ini memudahkan petugas mengesan lokasi anda dengan lebih cepat.

Foto: Utusan Malaysia

  1. Gunakan WhatsApp untuk Maklumkan Keadaan

Setiap kumpulan jemaah biasanya mempunyai kumpulan WhatsApp mengikut penerbangan masing-masing. Jika mempunyai telefon pintar dan akses internet, gunakan platform ini untuk memaklumkan lokasi serta situasi anda kepada ahli kumpulan.

Cara ini sering membantu mempercepatkan proses bantuan kerana maklumat dapat disampaikan secara terus kepada pihak berkaitan.

  1. Kenali Petugas Tabung Haji

Selain bantuan secara dalam talian, Tabung Haji juga menempatkan petugas di sekitar Masjidil Haram untuk membantu jemaah yang menghadapi masalah.

Mereka mudah dikenali melalui pakaian rasmi seperti vest hijau, baju-T hitam serta topi hitam yang mempunyai logo TH. Jika terlihat petugas ini, segera dapatkan bantuan daripada mereka.

Foto: Utusan Malaysia

  1. Sentiasa Bawa Dokumen Pengenalan

Jemaah juga disarankan supaya sentiasa membawa lanyard dan kad Nusuk sebagai bukti pengenalan diri sepanjang berada di Tanah Suci.

Jika tidak membawa dokumen ini, ada kemungkinan anda akan berdepan kesukaran termasuk ditahan pihak berkuasa untuk tujuan pemeriksaan.

Selain itu, gelang tangan yang diberikan juga mengandungi maklumat penting termasuk nombor telefon kecemasan. Ia boleh digunakan sekiranya berlaku sebarang situasi tidak dijangka atau jika anda terpisah daripada kumpulan.

Sumber: Siakap Keli

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda