
Gambar Hiasan
Isu solat jamak ketika majlis perkahwinan sering menjadi persoalan, khususnya apabila pengantin atau ahli keluarga terlalu sibuk melayan tetamu, mengurus perjalanan majlis, malah ada yang risau solekan akan rosak jika mengambil wuduk semula. Situasi ini memang biasa berlaku dalam masyarakat, namun persoalannya adakah ia dibenarkan oleh syarak?
Advertisement
Dalam Islam, solat fardu wajib ditunaikan pada waktu yang telah ditetapkan. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya solat itu suatu kefarduan ke atas orang yang beriman yang telah ditentukan waktunya.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Ayat ini menjadi asas bahawa setiap solat mempunyai waktu tertentu dan tidak boleh sengaja dilewatkan tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak. Bahkan, Allah SWT turut memberi peringatan keras kepada golongan yang lalai terhadap solat mereka:
“Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat, iaitu mereka yang lalai daripada solatnya.”
(Surah al-Ma’un: 4-5)
Menurut tafsiran ulama, maksud ‘lalai’ dalam ayat tersebut termasuklah individu yang sengaja melewatkan solat sehingga keluar daripada waktunya. Dalam Tafsir Ibn Kathir, Sa’ad bin Abi Waqqas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menjelaskan golongan tersebut ialah mereka yang menangguhkan solat hingga masuk waktu solat lain.

Gambar Hiasan
Berbalik kepada isu kenduri kahwin, para ulama menjelaskan bahawa kesibukan melayan tetamu atau ingin menjaga solekan bukanlah keuzuran syarie yang membolehkan seseorang menjamakkan solat sesuka hati. Solat jamak mempunyai syarat tertentu seperti musafir, hujan yang menyukarkan, sakit atau keadaan darurat tertentu yang diiktiraf syarak.
Ini bermakna, menjadikan alasan “tak sempat sebab ramai tetamu” atau “tak mahu make up rosak” untuk melewatkan solat sehingga habis waktu adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Malah, keberkatan majlis perkahwinan itu sendiri lebih utama dijaga dengan memelihara ibadah kepada Allah SWT.
Dalam situasi majlis kahwin, sebenarnya banyak langkah boleh diambil lebih awal seperti menyediakan ruang solat khas, menyusun jadual bersolek dengan baik atau mengambil wuduk sebelum solekan dilakukan. Solekan boleh diperbaiki semula, tetapi solat yang sengaja dilengah-lengahkan tanpa sebab syarie memberi kesan besar terhadap tanggungjawab seorang Muslim.
Perkahwinan ialah ibadah dan permulaan kepada kehidupan yang diberkati. Maka alangkah indahnya jika hari bahagia itu dimulakan dengan menjaga hubungan dengan Allah terlebih dahulu sebelum meraikan manusia.
Sumber: Instagram (ustazahasmaharun)