Skip to main content

Advertisement

Gaya Hidup

Doa Mustajab Bermula 5:18 Petang? Ini Hakikat Hari Arafah Yang Ramai Keliru...

Gambar Hiasan

Menjelang Hari Arafah, media sosial kembali dipenuhi dengan perkongsian tentang ‘waktu mustajab berdoa’ yang kononnya bermula dari jam 5:18 petang hingga 11:55 malam waktu Malaysia.

Advertisement

Ramai yang terus percaya dan menunggu tepat jam tersebut untuk mula berdoa bersungguh-sungguh. Namun persoalannya daripada mana sebenarnya datang waktu itu?

Rupanya, waktu tersebut dikira berdasarkan permulaan wukuf di Arafah di Mekah, kemudian ditambah dengan perbezaan waktu antara Mekah dan Malaysia.

Tetapi di sinilah ramai mula keliru antara hari Arafah dan waktu wukuf di Arafah Sedangkan kedua-duanya bukan perkara yang sama.

Apa Itu Hari Arafah?

Dalam kalendar Islam, satu hari bermula dari waktu Maghrib hingga Maghrib keesokan harinya.

Maka, Hari Arafah bermula daripada terbenam matahari 8 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 9 Zulhijjah.

Ini bermaksud seluruh tempoh tersebut ialah Hari Arafah bagi umat Islam di tempat masing-masing termasuk di Malaysia.

Bukan bermula ikut waktu Mekah.

Ramai terlupa bahawa ibadah harian umat Islam sentiasa mengikut waktu di tempat masing-masing.

Kita di Malaysia:

  • Solat ikut waktu Malaysia

  • Puasa ikut waktu Malaysia

  • Berbuka ikut waktu Malaysia

  • Tarawih ikut waktu Malaysia

Jadi kenapa tiba-tiba untuk doa Hari Arafah, kita perlu tunggu ikut waktu Mekah?

Jika benar Hari Arafah perlu ikut Mekah sepenuhnya, maka logiknya hari itu di Malaysia hanya bermula sekitar jam 11:56 malam yang  jelas tidak tepat.

Hakikatnya, Hari Arafah bagi umat Islam di Malaysia bermula apabila masuk Maghrib di Malaysia.

Daripada Mana Datangnya ‘5:18 Petang’?

Waktu itu sebenarnya diambil daripada permulaan wukuf di Padang Arafah.

Wukuf ialah salah satu rukun haji yang wajib dilakukan oleh jemaah haji.

Tempoh wukuf bermula:

Daripada masuk waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah di Mekah.

Disebabkan Zuhur di Mekah sekitar jam 12:18 tengah hari, maka apabila ditambah 5 jam perbezaan waktu, ia menjadi sekitar jam 5:18 petang di Malaysia.

Namun itu ialah waktu khusus untuk ibadah wukuf jemaah haji di Arafah dan bukan penetapan rasmi ‘waktu mustajab doa’ untuk seluruh umat Islam dunia.

Gambar Hiasan

Jadi Bilakah Waktu Mustajab Berdoa Pada Hari Arafah?

Jawapannya mudah:

Sepanjang Hari Arafah adalah waktu yang sangat mustajab untuk berdoa.

Bukan terhad kepada beberapa jam tertentu sahaja.

Hari Arafah sememangnya memiliki kelebihan yang sangat besar. Rasulullah SAW sendiri menyebut tentang keutamaan doa pada hari tersebut.

Bagi mereka yang tidak menunaikan haji, inilah peluang untuk memperbanyakkan doa, berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan berpuasa sunat Arafah.

Jangan terhadkan rahmat Allah hanya pada satu slot masa viral di media sosial.

 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda