Gambar Hiasan
Pernah tak anda berada dalam situasi tergesa-gesa contohnya ingin mengejar penerbangan, mesyuarat penting atau perjalanan jauh, lalu terus menunaikan solat fardhu walaupun azan masih sedang berkumandang?
Advertisement
Persoalan ini sebenarnya sering bermain di fikiran ramai umat Islam: adakah sah solat yang dilakukan ketika azan belum habis dilaungkan?
Menurut penjelasan dalam Al-Kafi #1372 oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum solat tersebut adalah sah, selagi waktu solat telah benar-benar masuk.
Azan merupakan salah satu syiar Islam yang bertujuan memberitahu umat Islam bahawa waktu solat fardhu telah masuk serta menyeru orang ramai supaya menunaikan solat berjemaah.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah…”
(Surah al-Jumuah: 9)
Malah, Rasulullah SAW juga bersabda:
“Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang daripada kamu melaungkan azan…”
(Riwayat al-Bukhari)
Daripada penjelasan para ulama, azan hanya disyariatkan selepas masuknya waktu solat. Sebab itu, apabila azan mula berkumandang, ia menjadi petanda bahawa waktu solat sudah pun bermula.
Jadi, sah ke solat ketika azan? Jawapannya: Ya, sah.

Gambar Hiasan
Ini kerana salah satu syarat sah solat ialah dilakukan selepas masuk waktu. Oleh sebab azan sendiri menandakan masuknya waktu solat, maka seseorang dibenarkan terus mendirikan solat walaupun azan masih belum selesai.
Dalam situasi tertentu seperti mengejar penerbangan atau mempunyai kekangan masa, solat yang dilakukan ketika azan sedang dilaungkan tetap dikira sah di sisi syarak.
Walaupun sah, para ulama menjelaskan bahawa lebih baik dan lebih afdhal untuk menunggu sehingga azan selesai terlebih dahulu.
Ini kerana terdapat sunnah yang sangat besar ganjarannya ketika azan berkumandang, antaranya:
Menjawab lafaz azan
Berselawat ke atas Nabi SAW
Membaca doa selepas azan
Memohon wasilah buat Rasulullah SAW
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu mendengar seruan muazzin, jawablah sepertimana yang diucapkannya…”
(Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan terdapat kelebihan besar bagi mereka yang mengambil peluang menjawab azan sebelum menunaikan solat.
Islam sentiasa memberi kemudahan kepada umatnya dalam keadaan tertentu. Namun, kemudahan itu bukan bermaksud kita sengaja melengah-lengahkan solat atau menjadikan alasan sibuk sebagai kebiasaan.
Jika mempunyai kelapangan, sebaiknya dengarlah azan sehingga selesai dan rebut ganjaran sunnah yang dijanjikan. Tetapi jika benar-benar terdesak, solat ketika azan sedang berkumandang tetap sah dan dibenarkan.
Semoga penjelasan ini memberi kefahaman yang lebih jelas kepada umat Islam agar dapat beribadah dengan yakin dan tenang.
Rujukan: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan