
Foto: Facebook
Perkongsian oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun menyentuh emosi ramai apabila mengulas tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang kanak-kanak baru-baru ini.
Advertisement
Menurutnya, berita tersebut sahaja sudah cukup memilukan, namun kenyataan si ayah yang memilih untuk memaafkan menjadikan kisah itu lebih mengundang rasa sebak.
“Allahu Akbar..Berita semalam sudah cukup menyayat hati. Hari ini, bila kita membaca ayahnya berkata, “Saya maafkan guru itu”… bertambah sayu, bertambah pilu.😢”
Beliau menyifatkan kejadian itu bukan sekadar kemalangan biasa, tetapi satu ujian berat yang melibatkan banyak pihak termasuk guru yang kini perlu menanggung perasaan bersalah dan trauma berpanjangan.
Dalam masa sama, tindakan si ayah yang memilih untuk memaafkan dianggap sebagai tanda keimanan dan ketundukan kepada takdir Ilahi.
“Ia bukan sekadar satu kemalangan, ini adalah pertembungan antara takdir yang sangat berat dengan banyak hati manusia yang diuji.
Di tengah-tengah semua itu, seorang ayah memilih untuk memaafkan. Redha dengan Takdir Allah mendahului segalanya, itulah sifat orang yang beriman.”
Beliau turut menekankan bahawa sifat memaafkan bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi ketika berdepan kehilangan besar, namun ganjarannya amat tinggi di sisi Allah SWT.
فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Syura : 40)
Tambahnya lagi, memaafkan tidak bermakna menafikan keadilan, sebaliknya menunjukkan hati yang bergantung sepenuhnya kepada Allah tanpa menyimpan dendam.
Beliau juga berkongsi rasa hiba terhadap pemergian Nur Fatimatul Hawa yang disifatkan meninggalkan kesan mendalam kepada ramai walaupun pergi pada usia muda.
“Duhai anak, Nur Fatimatul Hawa, pertama kali melihat wajahmu… begitu manis, indah dan sangat menenangkan 😢 Pergimu dalam usia yang masih muda, namun meninggalkan kesan yang begitu mendalam di hati ramai.”
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan doa buat keluarga mangsa agar terus diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.
“Buat ayahanda kepada anak ini, moga Allah terus menguatkan hati dan memberinya kesabaran yang luar biasa dalam menghadapi kehilangan ini.
“Buat datuknya yang sedang diuji dengan kesihatan, moga Allah kurniakan kesihatan yang terbaik, kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian ini.
“Juga buat tiga lagi adik-beradiknya yang ditinggalkan, moga Allah pelihara seluruh keluarga dan menggantikan kehilangan ini dengan rahmat dan kasih sayang-Nya,” tulisnya.
Beliau menyifatkan kisah ini sebagai satu pengajaran besar tentang nilai sabar, reda dan kemaafan yang wajar dijadikan iktibar oleh semua.
“Allahu Akbar, ini bukan sekadar kisah duka, tetapi pelajaran tentang iman, sabar dan memaafkan. Semoga kita semua mengambil ibrah dan memandang hikmah atas apa yang sedang berlaku, moga Allah permudahkan segalanya.”
Ustazah Asma turut mengajak orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan arwah serta menjadikan peristiwa ini sebagai peringatan buat semua.
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami dikembalikan.”
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun