
Foto: Agensi
Satu penemuan pelik tetapi menarik berjaya ditemui sekumpulan pengkaji di Mesir apabila sebuah mumia purba didapati mengandungi teks daripada karya epik Yunani terkenal, Iliad pada bahagian badannya.
Advertisement
Mumia berkenaan ditemukan di tapak arkeologi Oxyrhynchus yang terletak berhampiran Al Bahnasa, kira-kira 200 kilometer dari Kaherah.
Pakar filologi klasik dari University of Barcelona, Ignasi-Xavier Adiego berkata, mumia yang dianggarkan berusia sekitar 1,600 tahun itu berasal dari zaman Rom dan ditemukan bersama helaian papirus yang dilekatkan pada bahagian perut.
Menurutnya, kebanyakan papirus yang pernah dijumpai sebelum ini biasanya mengandungi tulisan berkaitan ritual atau upacara pengawetan mayat.
Namun kali ini, penyelidik menemui sesuatu yang jauh berbeza apabila teks pada papirus tersebut dikenal pasti sebagai petikan daripada Iliad, karya agung yang dikaitkan dengan penyair Yunani purba, Homer.
“Ini antara penemuan paling luar biasa kerana kami tidak pernah melihat teks berbentuk sastera digunakan dalam konteks pengebumian seperti ini,” katanya.

Foto: Agensi
Walaupun keadaan papirus itu sudah rosak dan tidak lengkap, penyelidik masih berjaya mengenal pasti kandungannya berasal daripada bahagian “katalog kapal” dalam Buku II karya tersebut.
Pasukan pengkaji bagaimanapun masih belum melakukan pemeriksaan menggunakan teknologi seperti sinar-X kerana mahu memastikan bahan purba itu tidak mengalami kerosakan tambahan.
Sehingga kini, tujuan sebenar teks Iliad itu digunakan pada mumia berkenaan masih menjadi misteri.
Penyelidik tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan perlindungan spiritual, simbol tertentu atau sekadar penanda dalam proses mumifikasi.
Dalam masa sama, penggalian di kawasan itu turut membawa kepada penemuan tiga makam batu kapur yang menyimpan beberapa mumia lain.
Antara yang mencuri perhatian ialah tiga mumia yang mempunyai kepingan emas pada bahagian lidah, selain satu mumia lain yang ditemukan bersama logam tembaga pada bahagian sama.
Penyelidik turut menemui tempayan besar mengandungi sisa pembakaran manusia dewasa, tulang bayi serta kepala haiwan keluarga kucing yang dibalut kain.
Setakat ini, identiti semua individu yang ditemui masih belum dapat dipastikan, namun mereka dipercayai berasal daripada golongan kaya berdasarkan proses pengebumian dan pengawetan yang digunakan.
Sumber: Gempak