Skip to main content

Advertisement

Berita

Membanggakan! Malaysia Antara Negara Terawal Edar Kad Nusuk Sebelum Jemaah Berlepas

Foto: Harian Metro

Malaysia sekali lagi mencatat kemajuan dalam pengurusan haji apabila tersenarai antara negara terawal yang berjaya menyerahkan Kad Nusuk kepada jemaah sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci bagi musim 1447H/2026M.

Advertisement

Menurut Mustakim Mohamad, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, kejayaan ini merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan awal yang diperkenalkan pada musim lalu.

“Alhamdulillah, Malaysia sekali lagi berada di hadapan dalam inisiatif ini, sekali gus membuktikan kepercayaan tinggi pihak Arab Saudi terhadap keupayaan pengurusan haji negara,” jelas beliau.

Pelaksanaan tersebut terhasil melalui kerjasama rapat antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Tabung Haji serta pihak pengurusan penginapan jemaah di Mekah seperti Holiday Inn Bakkah.

Inisiatif pengagihan lebih awal ini memberi manfaat kepada jemaah kerana urusan ketibaan di Arab Saudi dapat berjalan dengan lebih teratur, sekali gus mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan proses kemasukan.

Kad Nusuk kini menjadi dokumen penting yang berfungsi sebagai pengenalan diri serta permit rasmi untuk memasuki kawasan ibadah termasuk Masjidil Haram, selain digunakan di pelbagai lokasi pemeriksaan keselamatan.

Dalam masa sama, jemaah dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kad tersebut berada dalam simpanan yang selamat bersama dokumen peribadi lain, memandangkan kawalan keselamatan dijangka lebih ketat terutama di laluan masuk ke kawasan suci.

“Jemaah dinasihatkan supaya sentiasa menjaga Kad Nusuk dan dokumen pengenalan diri masing-masing memandangkan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan,” katanya lagi.

Sumber: Bernama

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda