
Wartawan Astro Audio News, Najib Nazri, terus mengharumkan nama organisasi apabila berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Laporan Radio dan Podcast Terbaik pada Anugerah Media PERKESO i-LINDUNG-U 2026 yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.
Pengiktirafan tersebut diraih menerusi karya bertajuk PERKESO Itu Kawan, Bukan Lawan yang mengupas jurang antara persepsi masyarakat dengan realiti peranan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), khususnya dalam menyediakan perlindungan sosial kepada golongan pekerja.
Advertisement
Laporan berkenaan turut mengetengahkan kepentingan perlindungan sosial dalam membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya kumpulan B40, menghadapi risiko kehilangan sumber pendapatan akibat kemalangan atau ketidakupayaan untuk bekerja.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan sebagai penghargaan kepada pengamal media yang menghasilkan laporan berkualiti, berimpak tinggi serta mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perlindungan sosial.
Kejayaan terbaharu ini turut melengkapkan pencapaian podium ketiga Najib sepanjang tahun 2026, sekali gus membuktikan konsistensi dan komitmennya dalam menghasilkan karya kewartawanan yang berkualiti serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Mengulas kejayaan tersebut, Najib menyifatkan pengiktirafan itu bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya turut didorong doa dan restu ibu bapanya di kampung serta sokongan pelbagai pihak yang banyak membantu menjayakan setiap tugasan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Astro Audio News, khususnya Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Audio, Moganadas Muniandy, atas kepercayaan, bimbingan dan ruang yang diberikan untuk terus berkarya serta memperbaiki mutu pelaporan.
Menurut Najib, setiap pengiktirafan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan laporan kewartawanan yang bukan sahaja berkualiti, malah mampu membawa perubahan positif dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, Moganadas Muniandy melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut yang disifatkan sebagai bukti keupayaan Astro Audio News melahirkan wartawan berkualiti dan berdaya saing.
Beliau berkata, kejayaan Najib bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi inspirasi kepada seluruh warga bilik berita untuk terus meningkatkan mutu pelaporan dan mengekalkan standard kewartawanan yang tinggi.
Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga bilik berita atas pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, kemenangan Najib merupakan pengiktirafan kelima yang diraih Astro Audio News sepanjang 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam menghasilkan kandungan berita yang berkualiti dan dipercayai.
Beliau berharap momentum kecemerlangan tersebut dapat diteruskan bagi memperkukuh kedudukan Astro Audio News sebagai antara organisasi berita radio terkemuka di Malaysia.
Untuk rekod, Astro Audio News sebelum ini turut mencatat kejayaan menerusi wartawan kanannya, Nicholas Darren John, yang meraih gelaran naib juara pada Anugerah Media PETRONAS sebelum muncul juara pada Anugerah Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Najib pula sebelum ini meraih tempat ketiga masing-masing pada Anugerah Media RKB dan Anugerah Media Akademi Dalam Industri 2026.
Secara keseluruhan, Astro Audio News berjaya mengumpul lima pengiktirafan kewartawanan sepanjang tahun ini, sekali gus menjadikan 2026 antara tahun paling membanggakan buat organisasi berkenaan.
Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat nama individu yang terlibat, malah memperkukuh kredibiliti Astro Audio News sebagai sebuah bilik berita yang komited terhadap kewartawanan berkualiti, berintegriti dan berimpak tinggi.
Berpegang teguh pada prinsip Accurate. Reliable. Newsworthy., Astro Audio News akan terus komited menyampaikan laporan yang tepat, dipercayai dan relevan demi kepentingan masyarakat.