Skip to main content

Advertisement

Berita

Usrah Non Stop Sempena Ulang Tahun Ke-9 ZAYAN Raih 2.6 Juta Tontonan Dalam Tempoh 24 Jam!


Sempena sambutan Ulang Tahun Ke-9 ZAYAN, program khas Usrah Non Stop berjaya mencatat pencapaian luar biasa apabila meraih lebih 2.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam, bermula pada 5 Oktober dan berakhir pada 6 Oktober. Program yang berlangsung tanpa henti selama sehari penuh itu membuktikan kekuatan kandungan berteraskan gaya hidup Muslim yang terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya menerusi platform digital.


Kejayaan ini turut disokong oleh prestasi memberangsangkan di media sosial apabila platform TikTok merekodkan 1.5 juta tontonan, manakala kandungan berkaitan program di Instagram mencatat 72,000 tontonan. Selain itu, siaran langsung dan pelbagai klip video yang dikongsikan sepanjang program berlangsung turut menerima ribuan interaksi, perkongsian dan komen positif daripada pengguna media sosial.

Advertisement


Bagi menjayakan program istimewa ini, ZAYAN telah menghimpunkan seramai 23 asatizah dan tokoh agama tanah air yang bersama-sama berkongsi ilmu, inspirasi dan panduan kehidupan kepada para pendengar dan penonton sepanjang 24 jam siaran berlangsung. Setiap sesi yang disampaikan mengetengahkan pelbagai topik yang dekat dengan masyarakat termasuk kekeluargaan, pembangunan diri, kesihatan mental, ibadah, pengukuhan hubungan sesama insan serta cabaran kehidupan moden dari perspektif Islam. 


Penglibatan 23 asatizah ini memberikan nilai tambah yang signifikan kepada program tersebut dengan menawarkan kepelbagaian sudut pandang dan pendekatan dakwah yang relevan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Inisiatif ini selaras dengan komitmen ZAYAN untuk terus menjadi platform yang menyebarkan mesej positif, ilmiah dan inspiratif dalam format yang mudah diakses oleh audiens masa kini.


Menurut Pengurus Jenama ZAYAN, Zureen Affendi, kejayaan yang dicapai merupakan hasil sokongan padu para pendengar, penonton serta semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan.


"Kami amat bersyukur kerana Usrah Non Stop sempena ulang tahun ke-9 ZAYAN menerima sambutan yang begitu luar biasa daripada masyarakat. Pencapaian lebih 2.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam menunjukkan bahawa kandungan yang memberi manfaat, mendidik dan menginspirasikan masih mendapat tempat yang istimewa dalam hati rakyat Malaysia.


Lebih membanggakan apabila kami berjaya menghimpunkan seramai 23 asatizah untuk berkongsi ilmu dan pandangan sepanjang program berlangsung. Setiap pengisian yang dibawakan bukan sahaja memberi inspirasi, malah berjaya membentuk ruang perkongsian ilmu yang positif dan bermakna kepada audiens di seluruh negara.
Sokongan yang diterima ini menjadi pemangkin kepada kami untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti yang relevan dengan keperluan masyarakat, di samping memperkukuhkan lagi peranan ZAYAN sebagai platform gaya hidup Muslim yang memberikan impak positif kepada komuniti."


Kejayaan Usrah Non Stop bukan sahaja mencerminkan kekuatan jenama ZAYAN selepas sembilan tahun berada di udara, malah membuktikan bahawa kandungan berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam mampu menarik perhatian audiens digital dalam skala yang besar apabila disampaikan secara kreatif dan relevan.
ZAYAN ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ZAYAN memfokuskan kepada lagu-lagu nasyid dan ketuhanan, menjadikannya stesen radio nasyid pilihan rakyat Malaysia.


Dengan lebih 1 juta pengikut di media sosial, ZAYAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkenal Destinasi Nasyid Anda. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti ZAYAN di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ZAYAN melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda