Skip to main content

Advertisement

Berita

Debut Membanggakan! Astro Audio News Raih Tempat Ketiga Anugerah Media

Astro Audio News terus mengukuhkan kedudukannya dalam bidang kewartawanan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori Televisyen, Radio & Portal Video pada Anugerah Media Akademi Dalam Industri 2026 menerusi karya bertajuk Dilema AI dan Manusia: Jalan Pintas atau Pemangkin Kemahiran hasil tulisan wartawan, Najib Nazri.

Lebih membanggakan, pencapaian itu merupakan pengiktirafan sulung Astro Audio News dalam anugerah berkenaan, sekali gus membuktikan komitmennya dalam menghasilkan laporan berkualiti yang mengangkat isu semasa serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Advertisement

Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Radio News, Moganadas Muniandy, berkata kejayaan itu merupakan hasil usaha seluruh pasukan dalam memastikan setiap laporan yang dihasilkan kekal relevan, berinformasi dan memberi impak kepada khalayak.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan penyertaan pertama Astro Audio News dalam Anugerah Media Akademi Dalam Industri. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa kewartawanan audio dan digital mempunyai peranan penting dalam mengetengahkan isu-isu semasa yang dekat dengan masyarakat.

“Kejayaan karya Najib Nazri ini mencerminkan komitmen Astro Audio News dalam menghasilkan kandungan yang bukan sahaja informatif, tetapi turut mencetuskan perbincangan mengenai perkembangan teknologi, kemahiran masa depan dan kesiapsiagaan tenaga kerja negara.

“Kami berharap pencapaian ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga Astro Audio News untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti, berintegriti dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Kira-kira 60 penyertaan diterima bagi anugerah yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI).

Majlis penyampaian Anugerah Media 2026: Akademi Dalam Industri – Dapat Kerja, Gaji dan Kemahiran berlangsung di The Everly Putrajaya baru-baru ini, menghimpunkan pengamal media, wakil industri serta pelbagai pihak berkepentingan.

Penganjuran anugerah itu bertujuan mengiktiraf peranan media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembangunan bakat, kemahiran dan produktiviti negara. Ia turut menghargai usaha pengamal media yang mengetengahkan pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan modal insan serta kebolehpasaran pekerjaan.

Kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada Astro Audio News untuk terus memperkukuh kecemerlangan kewartawanan dengan menyampaikan laporan yang berkualiti, sahih dan relevan, sekali gus menyumbang kepada masyarakat yang lebih peka terhadap perkembangan semasa dan keperluan kemahiran masa depan.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda