Skip to main content

Advertisement

Berita

Hampir 100 Bayi Sertai Majlis Tahnik Perdana ZAYAN, Mufti Wilayah Persekutuan Turut Hadir

Membawa keberkatan dan mengeratkan hubungan bersama komuniti, stesen radio ZAYAN meneruskan inisiatif mendekati masyarakat menerusi penganjuran Majlis Tahnik Perdana bersama ZAYAN dengan kerjasama Hospital Pakar An-Nur Bangi.

Majlis yang berlangsung di Hospital Pakar An-Nur Bangi itu menghimpunkan hampir 100 bayi terpilih menerusi proses pemilihan oleh pihak pengurusan ZAYAN, sekali gus memberikan pengalaman bermakna buat ibu bapa dan keluarga yang terlibat.

Advertisement

Lebih istimewa, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil, yang meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan program berteraskan nilai keagamaan dan kekeluargaan itu.

Menurut Pengurus Jenama ZAYAN, Zureen Afendi, sambutan menggalakkan daripada ibu bapa amat menggembirakan pihaknya, sekali gus membuktikan bahawa program yang mengangkat nilai kekeluargaan dan keagamaan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, penyertaan yang memberangsangkan serta kegembiraan ibu bapa sepanjang majlis berlangsung menjadi pengalaman cukup bermakna buat seluruh warga ZAYAN.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan sambutan yang diterima bagi Majlis Tahnik Perdana ZAYAN. Penyertaan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa, selain melihat kegembiraan mereka sepanjang majlis berlangsung, memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna buat seluruh warga ZAYAN.

“Bagi kami, penganjuran ini bukan sekadar sebuah program, tetapi satu usaha untuk berkongsi kegembiraan dengan ibu bapa serta menyediakan ruang untuk mereka dan anak-anak menjadi sebahagian daripada pengalaman istimewa ini. Lebih menggembirakan, majlis ini dapat dianjurkan secara percuma kepada semua peserta terpilih,” katanya.

Dalam pada itu, Zureen turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Pakar An-Nur Bangi atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi memastikan kelancaran penganjuran majlis berkenaan.

Penghargaan turut ditujukan kepada Mufti Wilayah Persekutuan atas kesudian meluangkan masa bersama para peserta, sekali gus menambah makna kepada penganjuran tersebut.

ZAYAN berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh hubungan bersama pendengar dan komuniti, selari dengan identitinya sebagai stesen radio yang sentiasa dekat di hati masyarakat.

Untuk rekod, ZAYAN merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio yang memfokuskan kepada muzik nasyid dan ketuhanan, sekali gus menjadikannya antara destinasi pilihan pendengar yang menggemari genre berkenaan.

Dengan lebih satu juta pengikut di media sosial, ZAYAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik menerusi slogan Destinasi Nasyid Anda.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan ZAYAN menerusi frekuensi radio, platform media sosial rasmi serta aplikasi ZAYAN yang boleh dimuat turun melalui App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

ZAYAN – Destinasi Nasyid Anda!

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda