
Foto sekadar hiasan
Lelaki Islam di Kedah yang kerap meninggalkan solat Jumaat berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan penjara.
Advertisement
Kerajaan negeri menegaskan penguatkuasaan undang-undang syariah terhadap kesalahan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya lebih kepada usaha mendidik serta meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kepentingan menunaikan ibadah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Azam Abd. Samat berkata, individu yang tidak menunaikan solat Jumaat tanpa alasan yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah Darul Aman 2014.
Menurut beliau, peruntukan itu melibatkan lelaki Islam yang culas menunaikan solat Jumaat terutama jika dilakukan berulang kali seperti tiga minggu berturut-turut tanpa keuzuran syarie, yang boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
“Pendekatan penguatkuasaan lazimnya memberi keutamaan kepada kes berulang, selaras dengan usaha mendidik dan membimbing masyarakat agar lebih patuh kepada tuntutan agama,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
“Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah bertanggungjawab memantau serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap kesalahan berkenaan,” katanya.
Sumber: Kosmo