
Foto Hiasan
Advertisement
Dalam Surah Maryam, Allah SWT menceritakan satu peristiwa luar biasa ketika Maryam AS sedang menghadapi saat getir melahirkan Nabi Isa AS. Dalam keadaan lemah dan kesakitan, Allah memerintahkannya untuk menggoncangkan batang pokok tamar (kurma) agar gugur buah-buahnya yang segar:
“Dan goncangkanlah ke arahmu batang pohon tamar itu, nescaya ia menggugurkan kepadamu buah tamar yang masak.”
(Surah Maryam, ayat 25)
Perintah yang kelihatan sederhana itu sebenarnya tersirat hikmah yang mendalam, bukan hanya sebagai bentuk usaha dan tawakal, tetapi juga sebagai penawar semula jadi bagi seorang wanita yang sedang bersalin.
Menariknya, setelah lebih 1,400 tahun selepas ayat ini diturunkan, kajian moden dalam bidang perubatan telah membuktikan manfaat besar buah tamar terhadap proses kelahiran.

Foto Hiasan
Beberapa kajian saintifik yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa seperti PubMed dan BMC Pregnancy mendapati bahawa wanita yang mengambil tamar secara berkala pada minggu-minggu terakhir kehamilan biasanya mengalami proses bersalin yang lebih singkat, kurang memerlukan ubat induksi atau bantuan hormon oxytocin dan serviks (pintu rahim) mereka menjadi lebih cepat menegang dan terbuka, memudahkan proses kelahiran.
Kajian ini menunjukkan bahawa gula semula jadi, zat besi, kalium dan serat dalam tamar membantu memberi tenaga segera, menstabilkan tekanan darah, serta merangsang pengecutan rahim secara semula jadi. Ia seolah-olah membenarkan hikmah wahyu Ilahi yang telah disampaikan kepada Maryam AS beribu tahun lebih awal daripada penemuan sains moden.
Hari ini, apabila sains mengesahkan hikmah yang terkandung dalam ayat tersebut, ia menjadi bukti bahawa Al-Quran bukan sekadar kitab spiritual, tetapi juga sumber ilmu dan panduan kehidupan yang melangkaui masa.
Tamar juga menjadi makanan pertama yang disarankan untuk ibu bersalin dan bayi yang baru lahir. Dalam satu riwayat:

“Nabi SAW mengunyah sebiji tamar, lalu memasukkannya ke mulut bayi
(dalam tahnik).”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para ulama menjelaskan bahawa tindakan ini menunjukkan kurma adalah makanan fitrah yang lembut, bernutrisi tinggi dan sesuai untuk memberikan tenaga segera selepas kelahiran.