
Foto sekadar hiasan
Ramai baca Al-Quran, tapi tak semua perasan ada beberapa perkara menarik yang boleh buat kita berhenti sekejap dan fikir lebih dalam. Lagi menarik, bila disemak semula, ada fakta yang memang tepat, dan ada juga yang perlu dilihat dengan lebih teliti.
1. ‘Dunia’ dan ‘akhirat’ disebut sama banyak?
Advertisement
Selalu orang kata dua perkataan ini muncul dalam jumlah yang sama dalam Al-Quran, seolah-olah menggambarkan keseimbangan hidup. Hakikatnya, jumlah sebenar boleh berbeza bergantung kepada cara kiraan. Namun, mesej keseimbangan itu memang jelas dalam Al-Quran.
Antara ayat yang menggambarkan perkara ini ialah:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia.”
(Surah Al-Qasas: 77)
2. Ayat paling panjang rupanya bukan tentang ibadah
Ayat paling panjang dalam Al-Quran ialah dalam Surah Al-Baqarah ayat 282, yang membincangkan soal hutang dan transaksi.
Sebahagian daripada ayat tersebut berbunyi:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan hutang piutang untuk tempoh yang ditentukan, maka hendaklah kamu menulisnya...”
(Surah Al-Baqarah: 282)
Ini jelas menunjukkan Islam bukan sekadar ibadah khusus, tetapi turut menekankan aspek kejujuran dan ketelusan dalam urusan kehidupan.

Foto sekadar hiasan
3. Ada ayat yang struktur dia unik
Contoh yang sering disebut ialah:
“وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ”
(Surah Al-Muddathir: 3)
Ayat ini ringkas tetapi kuat dari segi susunan bahasa. Walaupun ada yang mendakwa ia boleh dibaca terbalik, itu tidak tepat secara linguistik. Namun, keindahan dan keseimbangan struktur bahasa Arab dalam Al-Quran memang tidak dapat dinafikan.
4. ‘Laut’ lebih banyak disebut daripada ‘darat’?
Dakwaan ini sering dikaitkan dengan nisbah bumi sekitar 70 peratus air dan 30 peratus daratan. Walaupun kiraan perkataan boleh berbeza, Al-Quran memang banyak menyentuh tentang laut dan darat sebagai tanda kebesaran Allah.
Contohnya:
“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang satu tawar lagi segar dan yang satu lagi masin lagi pahit...”
(Surah Al-Furqan: 53)

Foto sekadar hiasan
5. Besi ‘diturunkan’ dari langit
Dalam Surah Al-Hadid ayat 25, Allah berfirman:
“...Dan Kami turunkan besi, padanya terdapat kekuatan yang hebat serta pelbagai manfaat bagi manusia...”
(Surah Al-Hadid: 25)
Ada yang mengaitkan ayat ini dengan penemuan sains bahawa besi berasal dari luar bumi melalui meteorit. Tafsiran ini bukan tafsiran klasik utama, tetapi ia membuka ruang untuk kita melihat hubungan antara wahyu dan ilmu pengetahuan yang saling barkaitan.
6. Nisbah 70:30, sama macam bumi dan tubuh manusia
Ramai juga mengaitkan nisbah ini dengan komposisi bumi dan tubuh manusia yang majoritinya terdiri daripada air. Walaupun angka ini tidak disebut secara khusus dalam Al-Quran, konsep penciptaan manusia daripada unsur tertentu ada dinyatakan.
Seperti firman Allah:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah.”
(Surah Al-Mu’minun: 12)

Foto sekadar hiasan
Kesimpulannya, bukan semua yang tular itu salah, dan bukan semua juga tepat sepenuhnya.
Yang penting, kita ambil peluang untuk faham, kaji dan hayati mesej sebenar Al-Quran, bukan sekadar terpesona dengan fakta yang nampak menarik di permukaan namun pada dasarnya tidak jelas hukumnya.
Sumber: Threads @dakwahjakim