Skip to main content

Advertisement

General

“Aku Cuma Nak Tahu…” Perbuatan Mencari Aib Orang Ada Larangannya Dalam Islam!

Gambar Hiasan

Pernah dengar istilah tajassus (التجسس)?

Advertisement

Dalam kehidupan seharian, ada kalanya kita terdorong untuk mengetahui hal peribadi orang lain, lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara menimbulkan tanda tanya.

Namun, Islam mengajar bahawa rasa ingin tahu juga mempunyai batas. Jika seseorang sengaja menyelidik, mengintip atau mencari-cari perkara tersembunyi tentang orang lain, khususnya berkaitan aib, kesalahan atau urusan peribadi yang cuba disembunyikan, perbuatan itu termasuk dalam tajassus.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 12:

وَلَا تَجَسَّسُوا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”

Menariknya, larangan terhadap tajassus disebut dalam ayat yang sama dengan larangan terhadap sangkaan buruk dan mengumpat.

Allah SWT terlebih dahulu mengingatkan:

اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ
“Jauhilah banyak daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa.”

Kemudian:

وَلَا تَجَسَّسُوا
“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”

Seterusnya:

وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا
“Dan janganlah kamu mengumpat satu sama lain.”

Susunan ini memberikan satu pengajaran yang besar dalam menjaga hubungan sesama manusia. Sangkaan boleh mendorong seseorang untuk mencari, perkara yang dicari pula boleh membawa kepada pendedahan aib, sebelum akhirnya menjadi bahan untuk diceritakan kepada orang lain.

Bukan sekadar 'ternampak'

Tajassus bukan bermaksud setiap perkara yang kita ketahui secara tidak sengaja adalah dosa. Yang menjadi perhatian ialah perbuatan sengaja menyelidik dan mencari perkara tersembunyi tentang orang lain, khususnya kesalahan atau keaiban yang tidak dizahirkan.

Dalam tafsir ayat tersebut, tajassus dihuraikan sebagai perbuatan mencari atau menyiasat perkara tersembunyi serta kesalahan orang lain.

Dalam konteks hari ini, ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk tidak kira daripada cuba menyelongkar urusan peribadi seseorang, mencari maklumat yang sengaja dirahsiakan, hinggalah terlalu ingin mengetahui sesuatu yang sebenarnya bukan urusan kita.

Rasulullah SAW juga melarang perbuatan mengintip

Larangan ini turut ditegaskan dalam hadis sahih.

Rasulullah SAW bersabda:

“Jauhilah sangkaan, kerana sangkaan itu adalah percakapan yang paling dusta. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan, jangan mengintip antara satu sama lain...”

Hadis riwayat Sahih Muslim 2563a itu turut mengingatkan umat Islam agar tidak saling berdengki, membenci atau berpaling antara satu sama lain, sebaliknya menjadi hamba Allah yang bersaudara.

Tak semua perkara perlu kita tahu

Dalam era media sosial, sifat ingin tahu menjadi semakin mudah untuk dilayan.

Satu hantaran boleh membawa kepada profil lain. Satu komen boleh membawa kepada akaun peribadi. Satu persoalan pula boleh membuatkan kita terus menyelidik sehingga menemui perkara yang sebenarnya bukan untuk pengetahuan kita.

Namun, Islam mengajar kita supaya berhenti pada batas tertentu.

Tidak semua perkara yang kita syaki perlu disiasat. Tidak semua perkara yang kita temui perlu diketahui orang lain. Dan tidak semua aib yang kita tahu perlu diceritakan.

Kadang-kadang kita berkata, “Aku cuma nak tahu.”

Tetapi persoalannya, perlukah kita tahu?

Jika sesuatu perkara bukan urusan kita dan tidak membawa manfaat kepada kita, mungkin pilihan yang lebih baik ialah membiarkannya kekal sebagai perkara yang tidak kita ketahui.

Kerana menjaga maruah orang lain juga sebahagian daripada menjaga akhlak diri sendiri.

Jaga sangkaan. Jangan mencari-cari. Jangan mengintip. Dan jangan menyebarkan aib.

Itulah antara pengajaran yang dapat direnungkan daripada larangan tajassus dalam Surah al-Hujurat, ayat 12.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda