Skip to main content

Advertisement

General

Peniaga Affiliate Sanggup Menipu Asal Orang Klik Link? Ini Hukumnya Menurut Islam!

Gambar Hiasan

Dalam dunia perniagaan hari ini, pemasaran bukan sekadar memasang iklan atau mempromosikan produk. Ada yang sanggup menggunakan pelbagai strategi untuk menarik perhatian pelanggan, termasuk menghasilkan kisah sensasi, ulasan palsu (fake review) atau mencipta gambaran seolah-olah sesuatu produk mendapat sambutan luar biasa.

Advertisement

Namun, persoalannya, adakah strategi pemasaran sebegitu dibenarkan dalam Islam?

Menurut Irsyad Hukum Siri Ke-263: Hukum Menipu Untuk Tujuan Marketing yang diterbitkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, aktiviti pemasaran pada asasnya adalah harus, selagi ia tidak melibatkan perkara yang diharamkan.

Marketing Harus, Tetapi Bukan Lesen Untuk Menipu

Secara umum, pemasaran merupakan usaha memperkenalkan sesuatu produk atau perniagaan kepada masyarakat, selain bertujuan meningkatkan hasil jualan.

Islam mengharuskan aktiviti jual beli berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 275:

“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Berdasarkan kaedah fiqh “al-wasa’il laha ahkam al-maqasid”, sesuatu medium atau cara untuk mencapai tujuan akan mengambil hukum tujuan tersebut.

Ini bermakna, pemasaran itu sendiri tidak menjadi masalah, tetapi cara pemasaran dilakukan perlu mematuhi batas syarak.

Kisah Rekaan, Fake Review Antara Bentuk Penipuan

Gambar Hiasan

Antara bentuk pemasaran yang dibangkitkan ialah mencipta kisah-kisah yang tidak benar untuk menarik perhatian orang ramai.

Contohnya, peniaga mereka cerita berkaitan rumah tangga, kemalangan atau kejadian tertentu lalu menyelitkan produk atau perniagaan mereka sebagai sebahagian daripada kandungan tersebut.

Begitu juga dengan tindakan menghasilkan fake review atau membayar individu tertentu untuk berpura-pura menjadi pelanggan bagi mewujudkan gambaran bahawa sesuatu perniagaan mendapat sambutan hebat.

Jika maklumat yang disampaikan itu palsu dan bertujuan memperdayakan pengguna supaya membeli, tindakan tersebut tidak lagi sekadar strategi pemasaran.

Ia boleh termasuk dalam perbuatan menipu yang ditegah dalam Islam.

Islam Larang Strategi ‘Naikkan Harga’ Secara Palsu

Satu lagi amalan yang disebut ialah najsh.

Najsh merujuk kepada perbuatan seseorang sengaja menawarkan harga yang tinggi terhadap sesuatu barangan sedangkan dia sebenarnya tidak berniat untuk membelinya.

Tujuannya adalah supaya orang lain menyangka barangan tersebut mempunyai nilai yang tinggi lalu terdorong untuk membelinya pada harga yang lebih mahal.

Perbuatan ini jelas dilarang Nabi SAW sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Umar RA:

“Nabi SAW melarang najsh.”

Riwayat al-Bukhari (2035) dan Muslim (1516).

Dalam konteks pemasaran moden, prinsip yang sama boleh difahami sebagai larangan terhadap usaha memanipulasi persepsi pengguna melalui maklumat atau permintaan yang sengaja direka-reka.

Kejujuran Jadi Modal Paling Berharga

Islam bukan sekadar melarang penipuan, malah sangat mengangkat kedudukan peniaga yang jujur dan amanah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Rahman, ayat 9:

“Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.”

Kejujuran dalam perniagaan bukan hanya berkaitan timbangan dan sukatan, tetapi merangkumi cara seseorang berurusan dengan pelanggan, termasuk memberikan maklumat yang benar mengenai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Malah, Nabi SAW memberikan peringatan khusus kepada golongan peniaga.

Dalam hadis riwayat al-Tirmizi, Baginda SAW bersabda bahawa para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang yang jahat kecuali mereka yang bertakwa, berbuat baik dan jujur.

Lebih menarik, peniaga yang benar-benar jujur dan amanah turut mendapat kedudukan yang tinggi.

Nabi SAW bersabda:

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para nabi, siddiqin dan para syahid.”

Riwayat al-Tirmizi (1208).

Penipuan Boleh Rosakkan Kepercayaan Pelanggan

Dalam dunia digital, satu review palsu mungkin kelihatan seperti perkara kecil.

Namun, apabila pelanggan membuat keputusan pembelian berdasarkan maklumat yang sengaja dipalsukan, ia boleh menyebabkan mereka tertipu dan membuat keputusan yang tidak akan dibuat sekiranya mengetahui keadaan sebenar.

Islam memberi amaran keras terhadap perbuatan menipu.

Allah SWT berfirman pada awal Surah al-Mutaffifin:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang berlaku curang.”

Nabi SAW turut bersabda:

“Sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada golongan kami.”

Riwayat Muslim.

Menurut penjelasan ulama, ungkapan “bukan daripada golongan kami” tidak bermaksud seseorang itu terus terkeluar daripada Islam, sebaliknya menunjukkan bahawa perbuatan menipu bukanlah akhlak yang sepatutnya dimiliki seorang Muslim.

Ringkasnya, pemasaran dalam Islam adalah harus, selagi dilakukan dengan cara yang tidak bercanggah dengan syariat.

Peniaga boleh menggunakan kreativiti, kandungan menarik, strategi media sosial dan pelbagai kaedah pemasaran untuk memperkenalkan produk.

Tetapi apabila strategi tersebut melibatkan cerita palsu, ulasan yang direka, manipulasi harga atau maklumat yang mengelirukan pelanggan, ia boleh termasuk dalam penipuan yang ditegah Islam.

Dalam dunia perniagaan yang sangat bergantung kepada kepercayaan pelanggan hari ini, kejujuran bukan sekadar tuntutan agama.

Ia juga merupakan aset paling bernilai untuk membina reputasi perniagaan yang bertahan lama.

Rujukan: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda