
Foto: Coachella
Festival Coachella sekali lagi menjadi sorotan, bukan sekadar kerana persembahan muzik, tetapi juga mesej politik yang dibawakan oleh kumpulan rock Amerika, The Strokes.
Advertisement
Pada minggu kedua acara itu, mereka menutup persembahan dengan lagu Oblivius (2016). Namun, apa yang benar-benar mencuri perhatian ialah paparan visual di skrin besar yang mengiringi persembahan tersebut.
Montaj yang ditayangkan mengaitkan agensi perisikan CIA dengan beberapa peristiwa campur tangan politik di luar negara, termasuk penggulingan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh pada tahun 1953 yang sebelum ini didedahkan melalui dokumen sulit.
Turut dipaparkan ialah beberapa tokoh dunia seperti Patrice Lumumba, Juan José Torres, Jacobo Árbenz dan Salvador Allende yang sering dikaitkan dengan pengaruh kuasa besar dalam sejarah politik negara masing-masing.
Selain itu, visual tersebut turut menyentuh isu kontroversi seperti dakwaan penglibatan kerajaan dalam pembunuhan Martin Luther King Jr., walaupun siasatan rasmi tidak menyokong kewujudan konspirasi tersebut.
Di tengah persembahan, vokalis Julian Casablancas menyampaikan lirik “What side you standing on?” yang dilihat sebagai satu persoalan kepada penonton untuk menentukan pendirian masing-masing.
@st3r.official The Strokes displayed presidents killed by the CIA, and bombed hospitals & universities across Iran and Palestine in their already iconic Weekend 2 performance at Coachella. #coachella2026 #coachella #thestrokes #news #politicstiktok ♬ original sound - st3r
Persembahan itu turut mengangkat isu semasa termasuk konflik di Iran serta kemusnahan institusi pendidikan di Gaza. Antara visual yang dipaparkan ialah Universiti Al-Israa yang dikatakan antara yang terakhir sebelum dimusnahkan pada tahun 2024.
Tindakan The Strokes itu mencerminkan trend semasa dalam kalangan artis yang semakin berani menggunakan platform antarabangsa untuk menyuarakan sokongan terhadap Palestin serta mengkritik tindakan Israel.
Sehingga kini, pihak penganjur Coachella masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Namun, rakaman persembahan tersebut telah tular di media sosial dan meraih jutaan tontonan dalam tempoh singkat.
Rata-rata peminat meluahkan rasa terharu dan kagum dengan keberanian kumpulan itu yang memilih untuk menggunakan pentas berprestij tersebut sebagai medium menyampaikan mesej yang mencetuskan perbincangan global.
Sumber: TikTok @st3r.official