
Foto: Tangkap layar video YouTube
Isu kewangan sering menjadi antara faktor utama yang dibahaskan apabila menyentuh soal perkahwinan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Advertisement
Bagi penyampai radio, Anas Tahir, jumlah pendapatan sebanyak RM1700 masih boleh dianggap memadai untuk mendirikan rumah tangga sekiranya seseorang itu tahu mengurus kewangan dengan baik serta mengawal perbelanjaan yang tidak perlu.
Menerusi podcast Serious Lah di YouTube SYOK, Anas atau nama sebenarnya Anas Mohd Tahir berkata, jumlah tersebut mungkin agak mencabar, namun ia bukan alasan untuk seseorang menangguhkan perkahwinan jika sudah benar-benar bersedia dari segi tanggungjawab dan perancangan hidup.
Menurutnya, keadaan seseorang juga memainkan peranan penting termasuk komitmen bulanan dan tempat tinggal.
“Kalau tanya saya, semuanya bergantung kepada kemahuan dan cara kita hidup. Kalau tinggal dengan ibu bapa dan mereka okay untuk kita terus tinggal bersama, saya rasa RM1700 masih cukup.
“Saya pernah jumpa orang yang pendapatan lebih rendah daripada itu, tapi sudah ada tiga orang anak dan mereka masih hidup bahagia,” katanya dalam podcast berkenaan.
Dalam pada itu, Anas turut berpendapat bahawa isu kepuasan hidup tidak seharusnya dijadikan ukuran utama untuk berkahwin.
Katanya, lelaki yang benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami tidak akan terlalu memikirkan soal kemewahan semata-mata.
“Kalau gaji RM15,000 sekalipun, kalau belum bersedia, tetap belum layak untuk berkahwin,” ujarnya.
Bagaimanapun, penyampai ZAYAN FM itu mengakui tidak semua wanita mampu menerima lelaki yang mempunyai pendapatan rendah sebagai pasangan hidup.
Tambahnya lagi, seseorang perlu yakin dengan rezeki selain sentiasa berusaha memperbaiki taraf hidup.
“Kalau rasa RM1700 tak cukup, kita kena usaha lebih. Takkan nak berada di tahap sama sahaja,” jelasnya.
Mengakhiri perbincangan tersebut, Anas menitipkan nasihat kepada golongan lelaki agar tidak terburu-buru mendirikan rumah tangga hanya kerana terpengaruh dengan orang sekeliling.
Sebaliknya, beliau menyarankan agar lelaki menggunakan waktu bujang untuk membahagiakan keluarga terlebih dahulu selain memperbaiki diri dan meningkatkan kemampuan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Untuk rekod, podcast Serious Lah dihoskan oleh Haidar Hasanuddin dan Sharmaine dengan membawakan pelbagai topik menarik setiap minggu menerusi platform YouTube SYOK.
Sumber: YouTube SYOK