
Penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun, tampil dengan sebuah karya yang cukup istimewa menerusi album terbaharunya, Salawat The Beloved, sebuah himpunan selawat yang diberi sentuhan segar dan kontemporari tanpa menghilangkan keindahan serta roh asalnya.
Album terbitan Sony Music Malaysia ini mempunyai makna yang sangat mendalam buat Hafiz kerana ia bersempena dengan 25 tahun perjalanan seninya dalam industri muzik. Selepas mengharungi pelbagai fasa sepanjang kerjayanya, Hafiz menyifatkan album ini sebagai sebuah perjalanan yang membawanya kembali kepada perkara yang paling dekat di hati iaitu selawat dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
Menurut Hafiz, keistimewaan album ini terletak pada usaha memberikan nafas baharu kepada selawat yang sudah lama diamalkan dan dikenali masyarakat. Dengan pendekatan muzik yang lebih sinematik, moden dan berskala besar, beliau berharap pendengar dapat menikmati karya ini bukan sekadar sebagai sebuah album, tetapi sebagai satu pengalaman spiritual yang menyentuh jiwa dan emosi.
Menggabungkan Tradisi dan Sentuhan Kontemporari
Mengangkat konsep 'cinematic devotional music', album Salawat The Beloved mengekalkan melodi dan identiti asal selawat, namun diperluaskan melalui gabungan elemen orkestra, ambient, world music, percussion dan sentuhan muzik kontemporari.
Pendekatan tersebut menjadikan setiap karya dalam album ini lebih segar, tanpa mengorbankan nilai tradisi yang menjadi tunjang utama. Hafiz menjelaskan bahawa beliau mahu mempersembahkan selawat dalam bentuk yang mampu menarik minat pendengar moden sambil terus mengekalkan keindahan mesej asalnya.
Album ini menghimpunkan beberapa selawat dan karya pujian kepada Rasulullah SAW yang sudah begitu dekat dengan masyarakat Islam, antaranya:
- Ishafa’ Lana
- Salawat Badriyah
- Nuril Anwar
- Salawat Syifa’
- Salawat Adnani
- Salawat Jibril
- Salawat Tafrijiyyah
- Salawat Asyghil
- Ya Nabi Salam Alaik
- Cinta Rasul
Walaupun setiap lagu mempunyai identiti serta karakter muzik yang tersendiri, keseluruhan album diikat dengan satu benang merah yang sama iaitu rasa cinta, kerinduan dan penghormatan kepada Rasulullah SAW.
Setahun Menyiapkan Sebuah Karya Bermakna
Proses pembikinan Salawat The Beloved mengambil masa hampir setahun, melibatkan pelbagai peringkat termasuk pemilihan lagu, penyusunan muzik, rakaman, produksi serta pembangunan konsep visual.
Bagi Hafiz, tempoh masa yang panjang itu penting bagi memastikan setiap lagu mempunyai identiti dan suasana tersendiri. Walaupun berbeza daripada segi susunan muzik, kesemua lagu dalam album ini tetap berada dalam dunia dan naratif yang sama, sekali gus memberikan pengalaman mendengar yang lebih menyeluruh kepada pendengar.
Beliau menegaskan bahawa album ini bukanlah projek yang dihasilkan semata-mata untuk memenuhi jadual penerbitan, sebaliknya satu karya yang dibangunkan dengan penuh ketelitian dan penghayatan.
Uzbekistan Jadi Landskap Utama Visual Album

Salah satu keunikan terbesar album ini adalah pemilihan Uzbekistan sebagai lokasi utama penggambaran video muzik. Menurut Hafiz, negara Asia Tengah itu dipilih kerana mempunyai hubungan yang sangat erat dengan sejarah dan tamadun Islam.
Bandar-bandar bersejarah seperti Samarkand dan Bukhara terkenal sebagai pusat ilmu yang penting dalam sejarah dunia Islam. Selain itu, tokoh-tokoh ilmuwan besar seperti Imam al-Bukhari turut mempunyai kaitan yang kuat dengan wilayah tersebut.
Daripada sudut visual, Uzbekistan menawarkan keindahan seni bina, warna, tekstur dan landskap yang unik. Keagungan Registan di Samarkand, keindahan madrasah bersejarah, kota lama Bukhara serta kawasan pergunungan yang memukau memberikan latar yang selari dengan konsep album yang berakar daripada tradisi Islam tetapi dipersembahkan secara sinematik dan bertaraf antarabangsa.
Hafiz turut menyatakan penghargaan terhadap kerjasama yang diberikan oleh Uzbekistan Tourism Committee, yang banyak membantu proses penggambaran di beberapa lokasi utama termasuk Samarkand, Bukhara, Tashkent dan kawasan pergunungan.
Medium Dakwah dan Pertukaran Budaya
Lebih daripada sekadar menghasilkan video muzik, Hafiz melihat projek ini sebagai satu medium untuk memperkenalkan sejarah, budaya dan keindahan Uzbekistan kepada khalayak yang lebih luas.
Beliau percaya bahawa muzik dan visual mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada latar belakang berbeza. Justeru, kolaborasi yang terjalin antara Malaysia dan Uzbekistan melalui projek ini turut menjadi satu bentuk pertukaran budaya yang bernilai.
Selain penggambaran di Uzbekistan, beberapa video muzik bagi lagu seperti Ishfa’ Lana dan Salawat Badriyah turut menjalani penggambaran di Istanbul, Turki dan Al-Ula, Arab Saudi, sekali gus memperkayakan lagi elemen visual album tersebut.
Harapan Untuk Semua Pendengar
Di samping mempersembahkan keindahan selawat dalam bentuk yang lebih segar, Hafiz turut berpeluang mengetengahkan koleksi fesyen dan gaya hidup Malaysia menerusi jenama Teman oleh Siti Khadijah dalam beberapa segmen visual album ini.
Mengakhiri perkongsian mengenai album Salawat The Beloved, Hafiz menyatakan bahawa harapannya sangat sederhana. Beliau berharap selawat-selawat yang dimuatkan dalam album ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat, menyentuh hati para pendengar dan mengukuhkan lagi kecintaan terhadap Rasulullah SAW.