Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Enggan Terlalu Hanyut, Syatilla Melvin Ajak Perbanyak Istighfar - “Bayangkan Lepas Baca Allah Takdirkan Kita Meninggal…”

Foto: Instagram

Pelakon, Syatilla Melvin mencuri perhatian ramai selepas berkongsi beberapa pesanan berunsur keagamaan di media sosial miliknya yang mengajak orang ramai supaya memperbanyakkan doa taubat dan kembali mendekatkan diri kepada Allah.

Advertisement

Menerusi perkongsian tersebut, Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin itu menekankan amalan Sayyidul Istighfar sebagai antara doa istighfar paling utama dalam Islam yang mengandungi pengakuan tauhid, pengiktirafan dosa serta pergantungan penuh kepada Allah untuk memohon keampunan.

“Siapa dekat sini yang dah hafal sayyidul istighfar? Power gila tau. Kalau kita baca lepas itu Allah takdirkan kita meninggal, insyaAllah besar ganjaran dia,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Dalam ajaran Islam, Sayyidul Istighfar merupakan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW dan diamalkan sebagai permohonan keampunan yang paling lengkap. 

Berdasarkan hadis sahih, mereka yang membacanya dengan penuh keyakinan dan kemudian meninggal dunia pada hari atau malam yang sama dikatakan termasuk dalam golongan ahli syurga.

Dalam masa sama, Syatilla turut mencadangkan agar orang ramai mencari dan mempelajari bacaan tersebut melalui platform YouTube bagi memudahkan proses hafalan.

Isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu juga mengingatkan tentang kepentingan solat yang merupakan tiang agama dalam kehidupan seorang Muslim.

Menurutnya, solat tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi asas utama dalam kehidupan beragama.

“Wahai manusia sihat sempurna tubuh badan dan akalnya, kenapa malas solat? Solat itu kan tiang agama. Tanpa tiang, runtuh semua yang ada… sama-sama paksa diri jom,” ujarnya.

Dalam perkongsian berasingan, Syatilla turut menekankan kepentingan menjaga hubungan sesama manusia serta mengelakkan perbuatan zalim.

“Jika kita aniaya atau berbuat jahat pada seseorang, lalu orang itu membalas kejahatan kita dengan sujudnya, saat itu kita dalam bahaya,” katanya.

Secara keseluruhannya, perkongsian itu membawa mesej agar orang ramai memperbanyakkan istighfar, memperbaiki diri serta menjaga hubungan dengan Allah dan manusia.

Terdahulu, Syatilla juga pernah menegaskan bahawa tujuan utama manusia di dunia adalah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba termasuk menjaga solat lima waktu dengan baik.

Sumber: Threads @samtilla

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda