
Foto sekadar hiasan
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada 12 April ini, melibatkan gabungan peserta antarabangsa yang berhasrat mencabar sekatan ke atas Gaza serta memberi respons terhadap krisis kemanusiaan dan politik yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.
Advertisement
Lebih 80 bot dengan penyertaan melebihi 1,000 individu dari seluruh dunia akan terlibat, termasuk wartawan dan jurugambar Bernama. Inisiatif ini menggabungkan tindakan di laut dengan gerakan sokongan di darat secara serentak, melibatkan solidariti global, advokasi perundangan dan tekanan akar umbi di pelbagai negara.
GSF dalam kenyataan hari ini menegaskan misi tersebut dilaksanakan kerana kegagalan untuk bertindak akan membawa kesan yang lebih besar.
“Ketika Gaza terus berdepan sekatan yang semakin ketat, keganasan dan kekurangan keperluan asas, misi ini merupakan satu tindakan berprinsip tanpa kekerasan dalam mempertahankan maruah manusia, selain menyeru akses bantuan kemanusiaan serta menuntut pertanggungjawaban antarabangsa.
“Ia adalah cabaran langsung terhadap tembok, sekatan dan keganasan sistemik, selain menjadi pencetus kepada tindakan politik serta solidariti yang diselaraskan di seluruh dunia,” katanya.
Menurut GSF, misi 2026 ini dirangka sebagai intervensi awam yang tersusun ketika situasi keganasan dan krisis kemanusiaan semakin memuncak.
Selain armada utama yang bertujuan mencabar sekatan, misi ini turut melibatkan tenaga awam seperti doktor, guru dan pembina lestari yang bersedia membantu usaha bantuan kecemasan, penjagaan komuniti serta pemulihan awal bersama rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan pada Januari bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha kemanusiaan antarabangsa bagi mempertahankan hak rakyat Palestin susulan keadaan di Gaza yang semakin membimbangkan.
Beliau turut menyatakan kerajaan MADANI akan terlibat secara langsung dalam Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai sebahagian daripada perjuangan moral antarabangsa yang menuntut keberanian dalam menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira sempadan, bangsa atau agama.

Foto sekadar hiasan
Pada Ogos tahun lalu, Malaysia menghantar 34 aktivis untuk menyertai misi tersebut, dengan 23 daripadanya meneruskan pelayaran ke Zon Merah 3 menuju Gaza.
Bagaimanapun, pada 2 Oktober, kesemua 23 sukarelawan Malaysia itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel sebelum dibawa ke Penjara Ketziot.
Selepas beberapa hari, mereka dibebaskan dan kembali ke Malaysia pada 7 Oktober.
Kejayaan Sumud 2.0 digerakkan melalui empat komponen utama iaitu barisan hadapan melibatkan aktivis yang berlayar, barisan tengah yang mengurus strategi dan logistik, barisan belakang terdiri daripada rakan strategik serta keluarga, dan barisan sayap yang merangkumi sokongan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Untuk rekod, GSF 2.0 merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar sekatan ke atas Gaza, menyalurkan bantuan kemanusiaan serta membuka laluan bantuan awam secara berterusan.
Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan melibatkan lebih 80 bot dan 1,000 peserta dari seluruh dunia dengan pelayaran utama bermula dari Barcelona pada 12 April.
Di Malaysia, inisiatif ini turut mendapat perhatian apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, diberi tanggungjawab mengetuai delegasi bantuan negara yang membawa 30 kontena mengandungi 374 tan barangan keperluan untuk rakyat Palestin.
Sumber: The Malaysian Reserve