
Foto: Astro AWANI
Rakyat Palestin menyambut ulang tahun ke-47 ‘Land Day’ pada Khamis dengan mengulangi desakan agar Israel menamatkan pendudukan di wilayah Palestin yang berlarutan sejak 1967.
Advertisement
Memetik laporan AA, mereka turut menuntut penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat di kawasan yang dirampas, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Di Semenanjung Gaza, ratusan penduduk berhimpun berhampiran sempadan timur Gaza-Israel sambil mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk. Dalam perhimpunan itu, mereka melaungkan slogan bantahan serta menyeru kebebasan dan kedaulatan Palestin.
Demonstrasi turut diadakan di beberapa lokasi lain sekitar Gaza sebagai tanda solidariti dan protes berterusan.
Dalam satu kenyataan, Hamas menegaskan bahawa rakyat Palestin akan terus mempertahankan hak mereka yang sah. Di Tebing Barat pula, beberapa siri demonstrasi dijangka berlangsung pada Jumaat melibatkan pelbagai bandar dan kawasan penempatan.
Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengkritik tindakan Israel terhadap media “Suara Palestin” dengan menyifatkannya sebagai tindakan agresif.
Beliau turut menegaskan, “pendudukan Israel adalah berasaskan penempatan, penindasan dan pembunuhan.”
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat Palestin supaya kembali bersatu dan menamatkan perpecahan dalaman, khususnya antara Hamas dan Fatah yang dipimpin Presiden Mahmoud Abbas sejak 2007.
Untuk rekod, ‘Land Day’ mula diperingati pada 30 Mac 1976 apabila rakyat Palestin di Israel bangkit memprotes rampasan kira-kira 21,000 dunam tanah di wilayah Galilee, utara Israel.
Protes tersebut melibatkan beberapa kampung termasuk Arraba, Sakhnin, Deir Hanna dan Arab al-Sawa’id, susulan tindakan merampas tanah bagi pembinaan penempatan baharu Israel.
Sumber: AA.Com