
Lagu raya ‘Inilah Raya’ terbitan Astro Audio membuktikan bahawa sentuhan gabungan penyampai radio bukan sekadar di udara apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 10 Lagu Raya 2026 Redbox, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebaris dengan lagu-lagu popular lain musim perayaan tahun ini.
Antara lagu yang turut berada dalam senarai berprestij itu termasuk ‘Jodoh Lebaran’ nyanyian Aisha Retno, ‘Mama Papa Raya’ oleh Datuk Aliff Syukri serta ‘Bincang Raya’, kolaborasi Amira Othman dan Irfan Haris.
Advertisement
Menurut Ketua Pengurus Stesen Radio Astro Audio, Dharmendra, pencapaian tersebut membawa makna yang cukup besar buat seluruh warga Astro Audio, lebih-lebih lagi kerana ‘Inilah Raya’ merupakan sebuah projek istimewa yang menampilkan gabungan suara penyampai radio mereka sendiri.
“Ini satu penghormatan besar buat kami. Kami amat berterima kasih kepada pihak Redbox atas pengiktirafan ini. Lebih membanggakan apabila lagu ini melibatkan penyampai radio Astro Audio yang selama ini dikenali melalui suara di corong radio sahaja,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan ini bukan sekadar soal populariti, tetapi mencerminkan kekuatan hubungan antara penyampai dan pendengar yang sentiasa menyokong setiap usaha yang dihasilkan.
“Kami terharu melihat bagaimana lagu ini diterima baik. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi berjaya menyentuh emosi dan membangkitkan semangat Aidilfitri dalam kalangan pendengar dari pelbagai latar belakang,” jelasnya lagi.

Menariknya, ‘Inilah Raya’ dilancarkan agak lewat berbanding kebanyakan lagu raya lain tahun ini. Namun, faktor tersebut langsung tidak menjadi penghalang untuk lagu ini bersaing dan mendapat tempat di hati pendengar.
“Walaupun dilancarkan sedikit lewat kerana perlu mematuhi SOP yang ditetapkan, kami melihatnya sebagai satu cabaran positif. Hakikatnya, lagu ini masih mampu berdiri sama tinggi dengan karya lain yang dilancarkan lebih awal,” ujar Dharmendra.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini menjadi pemangkin untuk Astro Audio terus menghasilkan kandungan kreatif yang dekat dengan jiwa pendengar, khususnya yang mengetengahkan nilai kebersamaan dan budaya tempatan.
“Astro Audio percaya kekuatan kami terletak pada keikhlasan dan hubungan tulen dengan pendengar. Sokongan yang diberikan ini akan terus menyemarakkan semangat kami untuk berkarya dan berinovasi,” katanya.
Dalam masa sama, Astro Audio merakamkan penghargaan kepada para pendengar, rakan industri serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan ‘Inilah Raya’, sambil menegaskan komitmen mereka untuk terus menyajikan kandungan audio berkualiti yang relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia.