
Gambar Hiasan
Setiap kali kita ingin melancong atau pulang ke kampung halaman yang jauh, kita pasti tertanya-tanya “eh, cukup syarat ke nak jamak dan qasar ni?”, maka jawapan inilah yang ramai nantikan demi mendapatkan kepastian.
Advertisement
Menerusi Keputusan Muzakarah Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) 2021, satu penyelarasan penting telah dibuat berkaitan jarak musafir. Kini, kadar dua marhalah telah ditetapkan secara rasmi bersamaan 81 kilometer.
Ini bermakna jika perjalanan anda melebihi 81 km, anda sudah dikira sebagai musafir dan dibenarkan untuk menjamak dan mengqasarkan solat, tertakluk kepada syarat-syarat lain yang ditetapkan.
Sebelum ini, mungkin ada yang keliru kerana terdapat pelbagai kiraan jarak digunakan dan ramai masih menyangka bahawa 89 km merupakan jarak untuk dua marhalah, ada juga yang kurang. Tetapi dengan penyelarasan ini, ia bertujuan untuk memudahkan umat Islam di Malaysia supaya lebih jelas dan tidak lagi berteka-teki.
Apa yang menarik, keputusan ini bukan sekadar angka semata-mata, tetapi hasil daripada perbincangan ilmiah dan penelitian mendalam oleh para ulama serta pakar, mengambil kira realiti semasa termasuk sistem pengangkutan moden.

Gambar Hiasan
Jadi selepas ini, kita tidak perlu lagi merasa runsing dalam kira-kira jarak. Tidak kira sama ada ingin pulang ke kampung, bercuti atau urusan kerja yang jauh, jadikan sahaja angka 81 km ini sebagai panduan.
Dalam erti kata lain, jika anda yakin perjalanan anda telah melepasi jarak 81 km, maka tariklah nafas lega dan manfaatkan rukhsah (keringanan) yang telah dibenarkan.
Namun begitu, jangan pernah terlupa bahawa walaupun ada kemudahan, tanggungjawab sebagai Muslim tetap nombor satu. Pastikan kita faham syarat-syarat lain supaya ibadah yang dilakukan sah dan sempurna.
Mudah, jelas dan praktikal merupakan tujuan sebenar penyelarasan ini.
Sumber:
Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-111 (2021)
Portal Rasmi JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Garis Panduan Ibadah Musafir, JAKIM