
Gambar: Tiktok (@ustazundertaker)
Dalam masyarakat kita, ilmu pengurusan jenazah sering dianggap sudah mencukupi sekadar mengetahui cara memandikan dan mengkafankan. Namun, ada satu sunnah halus yang jarang diberi perhatian iaitu cara mengurus rambut jenazah wanita, khususnya yang panjang.
Advertisement
Hakikatnya, Islam sangat menitikberatkan setiap perincian dalam memuliakan si mati, termasuk helaian rambutnya. Bahkan, terdapat panduan khusus daripada Rasulullah SAW yang menjadi asas kepada amalan ini.
Amalan menganyam rambut jenazah wanita kepada tiga bahagian adalah sunnah yang thabit, bersandarkan hadis sahih daripada Ummu ‘Atiyyah R.A ketika memandikan puteri Rasulullah SAW, Zainab R.A:
“Kami menganyam rambutnya menjadi tiga bahagian, kemudian kami meletakkannya ke belakang.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjadi dalil utama bahawa rambut jenazah wanita bukan sekadar dirapikan, tetapi dianyam dengan cara tertentu sebagai tanda penghormatan terakhir.
Para ulama seperti Imam al-Nawawi menghuraikan bahawa ‘tiga bahagian’ merujuk kepada tiga tocang:
Satu di bahagian tengah (ubun-ubun)
Satu di bahagian kiri
Satu di bahagian kanan
Pembahagian ini bukan sahaja kemas, tetapi juga selari dengan amalan sahabat serta huraian fuqaha dalam mazhab Syafi‘i.
Menurut jumhur ulama, khususnya mazhab Syafi‘i dan Hanbali, amalan ini adalah sunnah (mustahabb).
Antara hikmahnya:
Menjaga kekemasan rambut jenazah
Mengelakkan rambut terurai ketika proses pengkafanan
Memelihara maruah dan kehormatan wanita walaupun selepas meninggal dunia
Jika rambut terlalu pendek, tidak perlu dipaksa dan memadai sekadar dirapikan dengan baik.
Proses ini dilakukan dengan penuh lembut dan beradab bermula daripada menyisir rambut dengan cermat, bahagikan ia kepada tiga bahagian (kiri, tengah dan kanan), anyam setiap bahagian seperti tocang biasa dan letakkan anyaman tersebut ke bahagian belakang.
Pandangan yang lebih kuat berdasarkan hadis ialah rambut yang telah dianyam diletakkan di belakang kepala atau badan jenazah. Walaupun terdapat pandangan lain yang membenarkan diletakkan di dada, kedudukan di belakang lebih menepati sunnah.

Gambar Hiasan
Penting untuk difahami bahawa amalan ini khusus untuk jenazah wanita sahaja.
Bagi jenazah lelaki, tidak disunnahkan untuk menganyam rambut dan memadai sekadar merapikan rambut si mati dengan baik.
Menganyam rambut jenazah wanita mungkin kelihatan kecil, namun ia mencerminkan betapa Islam mengajar umatnya menghormati insan hingga ke detik terakhir.
Hari ini kita mengurus jenazah orang lain. Esok, mungkin giliran jenazah kita pula yang diuruskan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita husnul khatimah dan menghadirkan insan-insan amanah yang akan menguruskan jasad kita dengan penuh kasih dan penghormatan.
Kredit: Tiktok (@ustazundertaker)