Skip to main content

Advertisement

Budaya & Masyarakat

PLUS Anggar Trafik Cecah 2.3 Juta Kenderaan Sehari Sempena Aidilfitri, Bermula Rabu Ini

Foto: Berita Harian

Aliran trafik di rangkaian lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad dijangka meningkat ketara sempena sambutan Aidilfitri apabila kira-kira 2.3 juta kenderaan dianggarkan menggunakan lebuh raya tersebut setiap hari sepanjang tempoh tertentu.

Advertisement

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata peningkatan itu dijangka berlaku dalam tempoh enam hari yang dikenal pasti sebagai waktu puncak iaitu dari 18 hingga 20 Mac serta 27 hingga 29 Mac.

Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan kenaikan lebih 20 peratus berbanding aliran trafik biasa di rangkaian lebuh raya kendalian PLUS.

“Angka itu mencatatkan peningkatan lebih 20 peratus, yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara PLUS hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali serta Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dr Nadzrol Fadzilah Ahmad.

Bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya lebih teratur sepanjang musim perayaan, PLUS akan menempatkan lebih 6,000 petugas di beberapa lokasi strategik di sepanjang lebuh raya.

Dalam masa sama, beberapa kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat turut ditambah baik termasuk penyediaan 25 tandas kabin tambahan di plaza tol serta hentian sebelah terpilih bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

Selain itu, sebanyak 34 lokasi di sepanjang lebuh raya juga akan mengaktifkan Smart Lane sebagai langkah membantu melancarkan aliran trafik ketika tempoh puncak perjalanan.

Mengulas lanjut, Nik Airina turut menggalakkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan merujuk kepada jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, khususnya bagi pengguna Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2.

“Pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang lepas, trend perjalanan pengguna yang mengikut saranan jadual perjalanan MyPLUS-TTA dapat menikmati perjalanan yang lebih lancar dan singkat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa penggunaan jadual perjalanan digital tersebut masih rendah apabila hanya sekitar 29 peratus pengguna lebuh raya yang memanfaatkannya setakat ini.

Sumber: Bernama

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda