
Foto sekadar hiasan
Setiap kali menjelang 1 Syawal, ramai yang sibuk pulang ke kampung untuk bertemu ibu bapa. Namun bagi seorang pendengar setia SINAR, tradisi itu tidak pernah berlaku.
Advertisement
Dalam perbualannya bersama Gen Pagi Sinar bersama Roy Azman, Sharifah Shahirah dan Hefny, dia berkongsi kisah peribadi yang penuh emosi mengenai keputusan tidak balik beraya di rumah ibunya.
“Hari raya pertama saya tak pernah balik rumah mak. Tapi Mak saya kata tak apa, dia tak kisah… sebab mak mentua kan sama pangkat dengan mak. Dia cakap, dia faham,” luahnya.
Dia menjelaskan, selepas hampir 19 tahun berkahwin, setiap kali menjelang Hari Raya, rumah yang dikunjungi adalah rumah mentua.
Walaupun ibunya tidak pernah mengungkit atau menyatakan rasa kecil hatinya, dia tetap merasakan ada kekosongan dalam hati.
“Saya takda cakap apa-apa yang boleh kecilkan hati mak, tapi mungkin perbuatan saya tu. Saya dah kahwin, jadi setiap kali raya, saya tak pernah balik rumah mak,” katanya.
Apabila ditanya mengapa, dia menjawab mungkin kerana ibunya sentiasa berpesan supaya sentiasa mendengar dan patuh akan kata-kata suami
“Mungkin mak selalu cakap, ‘Dengar cakap suami.’ Jadi kita ikut apa yang suami kata. Mak saya kata, tak apa. Balik raya rumah mak mentua dulu pun tak apa.
“Tapi selama berkahwin, tiap-tiap tahun saya balik rumah mentua pada hari Raya pertama, Tak pernah sekali pun sambut rumah mak” katanya lagi.
Dia menambah, walaupun ibunya bersikap memahami, dia tetap merasakan sedikit kesedihan dalam diam.
“Walaupun mak boleh terima kita tak balik, tapi dalam sudut hati kecil…saya yakin dia terguris hati dengan perbuatan saya..” tambahnya lagi.
Disoal sama ada pernah berbincang dengan suami untuk pulang beraya di kediaman ibunya, wanita tersebut menjawab,
“Saya ada tanya, tapi suami cuma diam..” katanya sambil ketawa kecil.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa walaupun ibu bapa bersikap memahami, ada rasa rindu dan hiba yang tidak diungkapkan.
Penutup panggilan, wanita ini turut memberitahu bahawa dia pernah menanyakan soalan kepada suaminya berkaitan anak-anak.
“Saya pernah tanya suami, awak tahu tak kenapa Allah bagi kita semua anak-anak perempuan?”
“Mungkin kalau mereka sudah besar, mereka akhirnya beraya di rumah mentua mereka. Saya harap awak tak berkecil hati,” jelasnya lagi.
Kisah ini mengajar kita bahawa kasih sayang ibu tidak diukur dengan jumlah kunjungan, tetapi dengan penerimaan dan kesabaran mereka.
Ia juga mengingatkan anak-anak bahawa sesekali luangkan masa untuk pulang, kerana tiap detik bersama ibu bapa adalah berharga.
Sumber: Instagram @sinar.my