Skip to main content

Advertisement

Budaya & Masyarakat

Larangan Kenderaan Berat di Jalan Raya Dikuatkuasakan Empat Hari Sempena Aidilfitri

Foto: Bernama

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan larangan sementara terhadap kenderaan berat daripada menggunakan jalan raya selama empat hari sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Advertisement

Larangan yang dikuatkuasakan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu melibatkan dua hari sebelum perayaan iaitu pada 19 dan 20 Mac, serta dua hari selepas sambutan Hari Raya pada 28 dan 29 Mac.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah tersebut diambil susulan jangkaan peningkatan jumlah kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Beliau menjelaskan bahawa setiap kali musim perayaan, negara sering menyaksikan peningkatan kes kemalangan jalan raya yang meragut nyawa, kebanyakannya berpunca daripada kecuaian pemandu serta perancangan perjalanan yang kurang teliti.

“Menjelang Aidilfitri, kita sering berdepan dengan peningkatan mendadak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa akibat kecuaian dan kegagalan merancang perjalanan.

“Sehubungan itu, MOT akan melaksanakan Road Ban terhadap kenderaan berat pada 19 hingga 20 Mac serta 28 hingga 29 Mac sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan, Paduan Kasih MADANI dan Ihya Ramadan MOT 2026 di sini, semalam.

Menurutnya lagi, JPJ akan mempergiat pemantauan terhadap sektor pengangkutan darat sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terjamin serta semua pengguna mematuhi peraturan yang ditetapkan

Dalam masa yang sama, beliau menggalakkan orang ramai memilih pengangkutan awam sebagai alternatif perjalanan.

Bagi mereka yang menggunakan kenderaan sendiri untuk pulang ke kampung, Loke menasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memandu dengan lebih berhemah demi keselamatan semua pihak.

Sumber: Bernama

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda