Foto sekadar hiasan
Persoalan tentang usia sesuai untuk melatih anak berpuasa sering menjadi tanda tanya dalam kalangan ibu bapa. Perkara itu turut dibangkitkan seorang pengguna Threads yang bertanya,
Advertisement
“Yang sebenarnya, umur berapa dah kena train anak berpuasa?”
Menjawab persoalan itu, doktor pediatrik Dr Nisa Khalil berkongsi panduannya. Menurut beliau, kanak kanak berusia dua hingga empat tahun belum perlu berpuasa.
“2 hingga 4 tahun belum perlu puasa. Introduce the concept je. Cerita pasal Ramadan, buat dia excited tengok kita berpuasa,” jelasnya.
Pada peringkat ini, pendedahan awal sudah memadai dengan memperkenalkan suasana Ramadan secara santai supaya anak faham dan teruja.
Apabila mencecah usia lima hingga enam tahun, latihan boleh dimulakan secara berperingkat.
“5 hingga 6 tahun boleh mula half day. Pagi je, berbuka tengahari. Pujian tu penting, bukan pressure,” katanya.
Pendekatan puasa separuh hari membantu anak belajar menahan diri tanpa membebankan fizikal dan emosi mereka.
Bagi kanak kanak tujuh tahun ke atas, galakan boleh dibuat dengan lebih konsisten, namun pemantauan tetap penting.
“7 tahun ke atas mula encourage more seriously, tapi still monitor. Kalau nampak struggling, let them eat,” ujar beliau.
Kesihatan anak perlu menjadi keutamaan, terutama jika mereka kelihatan terlalu letih, lemah atau tidak bermaya.
Dari sudut hukum pula, puasa Ramadan adalah wajib ke atas setiap Muslim yang baligh dan berakal. Kanak kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa.
Namun dalam Islam, ibu bapa digalakkan melatih anak melakukan ibadah sejak kecil sebagai persediaan apabila mereka mencapai usia taklif. Latihan ini bersifat mendidik, bukan memaksa.
Kebanyakan ulama menyarankan agar latihan dimulakan sekitar usia tujuh tahun secara berperingkat, selari dengan pendekatan mendidik anak tentang solat. Tujuannya supaya apabila tiba usia baligh, anak sudah terbiasa dan memahami tuntutan ibadah tersebut.
Dalam masa sama, pakar kesihatan turut menasihatkan ibu bapa memastikan anak mengambil sahur yang seimbang, cukup air serta mendapat rehat mencukupi.
Jika anak mempunyai masalah kesihatan seperti anemia, diabetes atau berat badan yang terlalu rendah, adalah wajar mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Dr Nisa turut mengingatkan bahawa pengalaman pertama anak berpuasa akan meninggalkan kesan mendalam.
“Yang paling penting jangan jadikan puasa sesuatu yang anak tak suka. Kita nak dia grow up loving Ramadan, bukan surviving it.”
Akhirnya, matlamat melatih anak berpuasa bukan sekadar memastikan mereka mampu menahan lapar dan dahaga, tetapi membentuk disiplin, empati terhadap golongan memerlukan serta rasa cinta terhadap Ramadan sejak usia kecil.
Sumber: Threads @dr.nisa.khalil