Skip to main content

Advertisement

Berita

[Video] Kajian Dedah Kucing Juga Boleh Alami Demensia, Proses Sama Seperti Manusia

[video] kajian dedah kucing juga boleh alami demensia, proses sama seperti manusia

Foto sekadar hiasan

Advertisement

Kajian saintifik terbaru mendedahkan bahawa kucing peliharaan turut berisiko mengalami demensia apabila mencapai usia tua, dengan proses semula jadi yang hampir menyerupai manusia.

Hasil imbasan otak ke atas kucing yang menunjukkan simptom demensia mendapati terdapat pengumpulan protein toksik beta amiloid, iaitu ciri utama yang juga dikesan dalam otak pesakit Alzheimer.

Kucing Hidup Panjang, Terdedah Masalah Kesihatan Usia Tua

Kucing merupakan antara haiwan peliharaan paling popular dalam kalangan masyarakat dan mampu hidup sehingga belasan tahun dengan penjagaan yang baik. Namun, usia yang panjang turut mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan termasuk gangguan kognitif.

Menurut Pakar Kesihatan Mental, Amirul Ramli, kucing tua boleh menjadi nyanyuk sama seperti manusia. Beliau berkata antara tanda-tanda awal demensia pada kucing adalah sering mengiau tanpa sebab, kelihatan bingung serta banyak tidur akibat gangguan pada kitaran rehat.

Kajian Sokong Persamaan Dengan Manusia

Jelas Amirul, kajian yang dilakukan menggunakan imbasan MRI menunjukkan beta amiloid terkumpul dalam otak kucing. Protein berbahaya ini sebenarnya dihasilkan setiap hari, namun hanya dapat disingkirkan ketika tidur yang berkualiti.

“Jika tidur tidak berkualiti, toksin ini akan kekal di dalam otak. Lama-kelamaan ia meningkatkan risiko nyanyuk,” katanya sambil mengaitkan perkara itu bukan sahaja kepada kucing, tetapi juga manusia.

[video] kajian dedah kucing juga boleh alami demensia, proses sama seperti manusiaFoto sekadar hiasan

Satu penyelidikan oleh University of Edinburgh terhadap 25 ekor kucing yang mempunyai simptom demensia turut mengesahkan kewujudan beta amiloid pada bahagian sinaps otak, yang akhirnya menjejaskan daya ingatan serta kemampuan berfikir.

Menurut ketua penyelidik, Dr Robert McGeachan, penemuan ini bukan sahaja membuka ruang kepada rawatan baharu bagi pesakit manusia, tetapi juga berpotensi membantu haiwan peliharaan yang semakin menua.

 

@amirul.ramli

 

♬ original sound - AmirulRamli | MentalHealth

 

Simptom Demensia Kucing

Laporan daripada laman veterinar PetMD menyatakan lebih suku daripada kucing berusia 11 hingga 14 tahun menunjukkan tanda-tanda awal demensia, manakala separuh daripada kucing berumur lebih 15 tahun mengalami disfungsi kognitif.

Selain kerap mengiau dan kebingungan, tanda-tanda lain termasuk:

  • termenung menghadap dinding,
  • terlupa makan atau minum,
  • meminta makanan berulang kali walaupun baru diberi,
  • membuang air di luar litterbox,
  • kurang membersihkan diri,
  • kitaran tidur berubah, terjaga dan aktif pada waktu malam,
  • perubahan interaksi dengan keluarga sama ada menjadi terlalu manja, sensitif atau menjauhkan diri.

[video] kajian dedah kucing juga boleh alami demensia, proses sama seperti manusiaFoto sekadar hiasan

Tiada Penawar, Tetapi Stres Kucing Boleh Dikurangkan

Seperti manusia, demensia pada kucing tidak boleh disembuhkan sepenuhnya. Namun, terdapat langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan tekanan ke atas si bulus. Antaranya memastikan akses mudah kepada makanan, minuman dan litterbox, melakukan aktiviti pengayaan tanpa perubahan drastik, memberi suplemen atau ubat-ubatan atas nasihat doktor, serta membuat perubahan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan keresahan.

Pemilik kucing juga digalakkan merangsang otak haiwan peliharaan mereka dengan permainan seperti treat puzzle atau treat ball. Selain itu, kucing perlu diberi peluang bersenam dan bergerak aktif kerana ia bermanfaat untuk minda serta kesihatan keseluruhan.

Bagi kucing yang tidak dibenarkan keluar rumah, pemilik disarankan memberi akses untuk melihat dunia luar melalui tingkap, bagi mengekalkan rangsangan mental yang baik.

Sumber: TikTok

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda