Skip to main content

Advertisement

Berita

Betul Ke Hari Jumaat Ni Penghulu Segala Hari Bagi Umat Islam? Apa Buktinya?

betul ke hari jumaat ni penghulu segala hari bagi umat islam? apa buktinya?

Hari Jumaat merupakan hari paling istimewa di dalam Islam. Dikatakan juga hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Disebabkan oleh itu, umat Islam diminta untuk perbanyakkan amalan kerana Allah akan melipatkan ganjaran setiap amalan baik yang dilakukan pada hari Jumaat.

Advertisement

Namun, apa bukti yang menyatakan hari Jumaat adalah penghulu segala hari?

Berdasarkan laman web Mufti Wilayah Persekutuan terdapat dua hadis yang menceritakan kelebihan hari Jumaat dan menceritakan Jumaat sebagai penghulu segala hari. Berikut adalah hadis yang mencerita akan perkara tersebut;

  • Daripada Abi Lubabah bin Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ سَيِّدُ الْأَيَّامِ، وَأَعْظَمُهَا عِنْدَ اللَّهِ، وَهُوَ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ، فِيهِ خَمْسُ خِلَالٍ، خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ، وَأَهْبَطَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ إِلَى الْأَرْضِ، وَفِيهِ تَوَفَّى اللَّهُ آدَمَ، وَفِيهِ سَاعَةٌ لَا يَسْأَلُ اللَّهَ فِيهَا الْعَبْدُ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ، مَا لَمْ يَسْأَلْ حَرَامًا، وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ، مَا مِنْ مَلَكٍ مُقَرَّبٍ، وَلَا سَمَاءٍ، وَلَا أَرْضٍ، وَلَا رِيَاحٍ، وَلَا جِبَالٍ، وَلَا بَحْرٍ، إِلَّا وَهُنَّ يُشْفِقْنَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri. Ini kerana, pada hari tersebut terdapat lima perkara besar iaitu: Padanya diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan Nabi Adam. Padanya juga terdapat satu masa apabila seseorang itu meminta sesuatu kepada Allah pasti akan diberikan kepadanya selagimana dia tidak meminta sesuatu yang haram. Padanya juga akan berlakunya Kiamat dan pada hari itu juga (hari Jumaat) tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, di langit, bumi, angin, gunung dan laut melainkan takut dengan keagungan hari Jumaat.” [Riwayat Ibn Majah (1084)][Riwayat Ahmad (15548)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan Abdullah bin Muhammad bin Uqail atau Ibn Abi Thalib al-Qurasyi. Ibn Hajar mengatakan beliau seorang buruk hafalannya tetapi riwayatnya boleh dijadikan sokongan. Adapun perawi yang lain adalah thiqah]

Tambahan pula, hari Jumaat adalah penghulu segala hari ada diriwayatkan juga oleh Ibn Majah daripada riwayat Abi Lubabah. Selain itu, Ibn Jarir juga ada meriwayatkannya di dalam tafsirnya dan begitu juga Ibn Abi Syaibah daripada riwayat Said bin al-Musayyib secara mursal dengan sanad yang sahih. Di samping itu, al-Thabarani juga meriwayatkannya di dalam al-Awsath daripada riwayat Anas bin Malik dan al-Hakim pula meriwayatkannya daripada riwayat Abu Hurairah RA. Manakala, Imam al-Baihaqi meriwayatkannya di dalam al-Syu’ab daripada ucapan Abdullah bin Mas’ud dengan sanad yang sahih.

Justeru itu, kami cenderung kepada riwayat tersebut adalah dhaif sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Walaupun begitu, terdapat banyak riwayat lain yang meriwayatkan perkara yang sama dan ia boleh menjadi sokongan kepada riwayat di atas. Selain itu juga, riwayat tersebut tidak melibatkan perkara ibadah tetapi ia hanya menunjukkan kebesaran dan keagungan hari Jumaat itu berbanding hari-hari yang lain.

Jadi, perbanyakkan amalan pada hari Jumaat yang mulia ini.

Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda