
Gambar Hiasan
Dalam kesibukan harian, ramai yang tanpa sedar gemar menangguhkan solat atas alasan “sekejap lagi” atau “tunggu siap kerja yang ini dulu”. Namun, satu pandangan menarik daripada sudut neurosains menyatakan bahawa tabiat kecil ini mungkin memberi kesan lebih besar daripada yang disangka dan ia bukan sahaja pada amalan, tetapi juga corak kehidupan secara keseluruhan.
Advertisement
Menurut prinsip asas neurosains, otak manusia sangat responsif terhadap sistem ganjaran yang melibatkan hormon dopamin. Setiap kali kita melakukan sesuatu yang menyeronokkan seperti makan makanan kegemaran atau melayari media sosial, otak akan melepaskan dopamin yang membuatkan kita rasa puas dan ingin mengulangi perbuatan tersebut. Dalam konteks ini, apabila solat ditangguhkan demi melakukan aktiviti lain yang lebih ‘menarik’, otak mula membentuk satu corak bahawa menangguhkan tanggungjawab adalah sesuatu yang boleh diterima.
Lama-kelamaan, tabiat ini boleh melarat ke aspek lain dalam kehidupan. Sikap suka bertangguh bukan sahaja terhad kepada ibadah, malah boleh mempengaruhi cara seseorang mengurus masa, kerjaya, hubungan, kesihatan malah ketenangan diri. Apa yang bermula sebagai ‘tangguh sekeja’ berpotensi menjadi satu pola tingkah laku yang sukar diubah jika dibiarkan berterusan.

Gambar Hiasan
Namun begitu, berita baiknya otak juga boleh dilatih semula. Dengan membiasakan diri menunaikan solat tepat pada waktunya, kita juga sebenarnya sedang melatih disiplin dalaman dan membina semula sistem ganjaran otak ke arah yang lebih sihat. Setiap kali kita mendahulukan solat, ia memberi isyarat kepada otak bahawa tanggungjawab dan keutamaan itu penting, sekaligus membantu membentuk sikap lebih teratur dalam kehidupan seharian.
Kesimpulannya, perubahan kecil yang konsisten mampu memberi impak besar. Memperbaiki hubungan dengan solat bukan sekadar soal ibadah, tetapi juga satu bentuk latihan mental dan emosi. Dengan izin-Nya, apabila kita menjaga solat, urusan lain juga akan dipermudahkan bukan secara magis, tetapi melalui disiplin dan keseimbangan yang kita bina sendiri.