Foto: Bernama
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasi di peringkat antarabangsa apabila empat pelajar tahfiznya diberi kepercayaan mengimamkan solat sepanjang Ramadan menerusi Program Qari in Residence di United Kingdom, Australia dan Singapura.
Advertisement
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pelantikan bagi tempoh 16 Februari hingga 21 Mac itu membuktikan graduan tahfiz UPSI memiliki kualiti serta kredibiliti sehingga diyakini institusi Islam di luar negara.
“Ini satu pengiktirafan yang bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, Adib Farhan Baharudin yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan terpilih berkhidmat sebagai imam di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom.
Sementara itu, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi pula ditempatkan di Malaysian Hall Perth, Australia. Dua lagi pelajar, Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing menjalankan tanggungjawab di Masjid al-Ghufran, Singapura.
Dalam perkembangan berkaitan, tenaga pengajar UPSI yang juga Penasihat Persatuan Tahfiz, Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami turut menerima jemputan menjadi imam di Masjid Dar al-Iman serta Malaysian Hall Sydney.
Menurut Md Amin lagi, pencapaian itu selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, bahkan mampu membawa peranan sebagai duta ilmu dan nilai Islam di luar negara.
“Ia juga selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan UPSI kini sedang membangunkan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami al Furqan yang bakal berfungsi sebagai pusat penyelidikan serta rujukan pendidikan tahfiz di Malaysia.
Institusi yang dibina di atas tanah seluas 7.2 hektar di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjong Malim itu akan memperkenalkan kurikulum bersepadu yang menggabungkan pendekatan sistem pondok selari dengan pengajaran pendidikan arus perdana.
Sumber: Bernama