Skip to main content

Advertisement

Berita

Akibat Telan Hempedu Ular Mentah, Cacing Pita Babi Bersarang dalam Otak!

akibat telan hempedu ular mentah, cacing pita babi bersarang dalam otak!

Foto: Agensi

Advertisement

Seorang lelaki berdepan detik mengejutkan apabila doktor menemui seekor cacing parasit sepanjang 18 sentimeter dalam otaknya dipercayai berpunca daripada amalan pelik yang diamalkan beberapa tahun lalu iaitu menelan hempedu ular mentah.

Mangsa, dikenali sebagai Li, mula menyedari sesuatu yang tidak kena sejak April tahun lalu apabila penglihatannya kabur dan kelihatan seperti ‘mosaik’. Pemeriksaan awal mendapati matanya dalam keadaan normal, membuatkan beliau tidak mengambil langkah seterusnya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun, keadaan bertambah serius pada Julai tahun ini, apabila beliau mula mengalami sawan, kekejangan badan, mulut berbuih dan pengsan. Ini mendorong pihak perubatan untuk menjalankan imbasan MRI, yang akhirnya menemui sesuatu yang mengejutkan, terdapat objek asing di dalam otaknya.

Pakar neurologi kemudian mengesahkan objek tersebut adalah sejenis cacing parasit Taenia solium, atau lebih dikenali sebagai cacing pita babi. Parasit ini biasanya menjangkiti manusia melalui makanan atau air yang tercemar, atau daging yang tidak dimasak sempurna.

Li segera menjalani pembedahan kraniotomi satu prosedur pembedahan otak bagi membuang cacing tersebut. Selepas rawatan rapi selama 10 hari, beliau akhirnya dibenarkan pulang dalam keadaan stabil.

akibat telan hempedu ular mentah, cacing pita babi bersarang dalam otak!

Foto Hiasan

Apa yang lebih mengejutkan, Li mengakui pernah menelan hempedu ular mentah secara langsung, tanpa memecahkannya terlebih dahulu, kerana percaya ia dapat memberi manfaat kesihatan. Namun, tindakannya itu mungkin menjadi punca utama parasit memasuki tubuh dan berhijrah ke otak, menyebabkan simptom yang hampir meragut nyawanya.

Susulan kes ini, pakar perubatan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan amalan pemakanan ekstrem, terutamanya yang tidak disokong oleh bukti saintifik. Mereka menasihatkan agar mengelakkan tiga perkara utama bagi mencegah jangkitan parasit:

1. Jangan minum air mentah (tidak dimasak).

2. Jangan makan daging mentah atau separuh masak.

3. Jangan letakkan daging mentah pada luka terbuka.

Kes seperti ini bukan sahaja menakutkan, malah menjadi peringatan betapa pentingnya ilmu dan kebersihan dalam aspek pemakanan.

Walaupun sesetengah kepercayaan tradisional mungkin kelihatan menarik atau diwarisi turun-temurun, penting untuk memastikan ia tidak membahayakan kesihatan. Sebarang bentuk rawatan atau amalan alternatif perlulah dirujuk kepada pakar perubatan sebelum diamalkan.

Kes Li ini bukan sahaja menggemparkan dunia perubatan, tetapi juga membuka mata banyak pihak tentang risiko tersembunyi di sebalik amalan yang dianggap biasa dalam sesetengah budaya.

Sumber: Agensi

 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda