Foto: Tangakp layar video
Solat merupakan rukun kedua dalam Islam yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang berakal dan telah mencapai umur baligh. Namun begitu, dalam masyarakat hari ini, masih terdapat segelintir individu yang mengabaikan tanggungjawab tersebut atas pelbagai sebab. Ada yang terlalu sibuk dengan urusan dunia, ada pula yang menganggap solat sebagai bebanan, manakala tidak kurang juga yang terpengaruh dengan bisikan syaitan sehingga meninggalkan ibadah ini secara sengaja.
Advertisement
Kewajipan menunaikan solat lima kali sehari iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak adalah tuntutan asas dalam Islam. Ia bukan sekadar kewajipan ritual semata-mata, bahkan mengandungi pelbagai hikmah termasuk mendidik jiwa, menyucikan hati daripada dosa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pencipta.
Namun, tidak semua individu mendapat pendedahan secukupnya tentang kepentingan ibadah ini sejak kecil. Malah, ada yang membesar dalam persekitaran yang tidak menekankan nilai-nilai kerohanian sehingga menyebabkan solat sering kali diabaikan atau dilakukan sambil lewa.
Menyedari hakikat ini, seorang wanita bernama Aisyah yang aktif berkongsi kandungan bermanfaat di platform TikTok melalui akaun @thisisasiyahtrying tampil memberikan saranan yang amat berguna kepada mereka yang sedang berusaha melatih diri agar tidak culas dalam mengerjakan solat lima waktu.
@thisisaisyahtrying #muslim #islam ♬ original sound - aisyah
Berikut merupakan lima kaedah yang dicadangkan oleh beliau bagi mengatasi rasa malas atau berat hati untuk menunaikan solat secara konsisten:
1. Mengambil Wuduk Setiap Kali Selepas Mandi
Menurut Aisyah, antara kaedah yang boleh diamalkan ialah dengan mengambil wuduk setiap kali selepas mandi. Amalan ini dapat memastikan seseorang berada dalam keadaan suci dan memudahkan proses menunaikan solat tanpa perlu kerap ulang-alik ke bilik air untuk berwuduk.
Apabila seseorang sudah berada dalam keadaan berwuduk, dorongan untuk segera solat akan menjadi lebih kuat kerana menyedari bahawa wuduk itu mudah terbatal. Oleh itu, individu tersebut akan berusaha menyegerakan solat sebelum berlaku perkara yang boleh membatalkan wuduk.
2. Biarkan Sejadah Terbentang di Tempat Solat
Tip kedua adalah dengan meninggalkan sejadah terbentang di tempat solat, tanpa melipat atau menyimpannya semula. Bagi kaum wanita, telekung yang digunakan juga boleh diletakkan bersama di atas sejadah tersebut.
Langkah ini bertujuan memudahkan persiapan untuk solat dan mengurangkan rasa berat untuk mula mengerjakannya. Menurut Aisyah, meletakkan sejadah pada arah kiblat yang tetap juga mencipta suasana bersedia secara mental untuk solat. Ia menghilangkan alasan seperti malas untuk mencari sejadah atau melipat dan menyusunnya semula.
Meskipun kelihatan seperti perkara kecil, bagi sesetengah individu, ia merupakan penghalang utama yang boleh menyebabkan solat dilengahkan atau ditinggalkan.
3. Memuat Turun Aplikasi Berkaitan Solat
Dalam era digital ini, pelbagai aplikasi mudah alih boleh dimanfaatkan bagi membantu memperbaiki ibadah. Aisyah menyarankan agar orang ramai memuat turun aplikasi solat yang menyediakan waktu azan, arah kiblat, bacaan doa, serta peringatan waktu solat.
Aplikasi sebegini sangat membantu terutamanya ketika berada di tempat asing atau dalam kesibukan harian. Dengan adanya peringatan dan kemudahan mengetahui arah kiblat, seseorang akan lebih mudah untuk menunaikan solat tepat pada waktunya.
Beliau turut menyatakan bahawa aplikasi-aplikasi solat ini telah banyak membantu individu lain untuk lebih istiqamah dalam menunaikan kewajipan tersebut.
4. Menyusun Jadual Harian Mengikut Waktu Solat
Tip seterusnya ialah merancang aktiviti harian dengan mengambil kira waktu solat. Ramai yang gagal menunaikan solat kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja, pelajaran atau sosial. Sesetengah wanita pula sanggup meninggalkan solat semata-mata kerana tidak mahu solekan mereka hilang.
Sebagai solusi, Aisyah mencadangkan agar seseorang menetapkan jadual aktiviti selepas waktu solat. Contohnya, jika solat Zuhur masuk pada jam 1.30 petang, maka segala urusan boleh dijadualkan bermula selepas jam 2.00 petang.
Tindakan ini membina tabiat solat tepat waktu, selain memberi ketenangan kerana ibadah telah diselesaikan sebelum memulakan aktiviti lain. Dengan latihan dan disiplin, ia akan menjadi rutin yang sebati dalam kehidupan seharian.
5. Berdoa Agar Diberi Kekuatan untuk Istiqamah Dalam Solat
Tip kelima dan terakhir ialah mengamalkan doa agar dikurniakan kekuatan untuk terus istiqamah dalam mendirikan solat. Aisyah menyarankan agar doa daripada Surah Ibrahim ayat 40 diamalkan selalu sebagai satu bentuk permohonan kepada Allah SWT.
Antara maksud doa tersebut ialah:
رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Doa ini bukan sahaja untuk diri sendiri, malah mencerminkan harapan agar keturunan kita juga sentiasa mendirikan solat. Ia merupakan satu bentuk usaha spiritual yang sangat penting bagi mengekalkan istiqamah dalam ibadah.
Kesimpulannya, lima langkah yang dikongsikan oleh Aisyah ini merupakan panduan praktikal yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja yang ingin memperbaiki disiplin solat. Meskipun kelihatan mudah, keberkesanannya bergantung kepada niat, kesungguhan dan keikhlasan hati dalam berusaha ke arah perubahan.
Sesungguhnya solat adalah penghubung utama antara seorang hamba dengan Penciptanya. Maka, peliharalah solat dengan sebaik-baiknya kerana di situlah letaknya keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Sumber: TikTok