Skip to main content

Advertisement

Berita

Kelantan Rancang Bakal Adakan Solat Istisqa’ Susulan Cuaca Kering dan Kemarau Panjang

Foto sekadar hiasan

Kerajaan Negeri Kelantan bercadang mengadakan solat sunat istisqa’ dalam masa terdekat sebagai ikhtiar memohon hujan susulan keadaan kemarau yang melanda negeri itu.

Advertisement

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja akan dilaksanakan di peringkat negeri, malah turut disarankan kepada Dewan Ulama di setiap kawasan untuk melaksanakannya.

“Saya ingin nasihat kepada rakyat agar menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari bagi mengelakkan kesan cuaca panas dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes kebakaran yang dikaitkan dengan cuaca panas dan kering sejak kebelakangan ini.

“Keadaan kemarau ini boleh menyebabkan kebakaran mudah berlaku, terutamanya apabila ada yang membuang puntung rokok sesuka hati atau melakukan pembakaran terbuka,” katanya lagi.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan merekodkan sebanyak 1,418 kes kebakaran sejak awal tahun ini, dengan 1,089 daripadanya melibatkan kebakaran terbuka yang menjejaskan kawasan seluas lebih 1,600 hektar.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, kebakaran belukar mencatatkan jumlah tertinggi berbanding kategori lain seperti hutan, sampah dan ladang, manakala Kota Bharu menjadi daerah paling banyak merekodkan kes.

“Daripada jumlah itu, 880 kes melibatkan kebakaran belukar diikuti hutan (114 kes), sampah (70 kes) dan ladang (25 kes),” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka bulan ini, iaitu sekitar 64 peratus, selari dengan jangkaan cuaca kering yang dijangka berterusan sehingga Jun.

“Walaupun keadaan masih terkawal, cabaran seperti sumber air terhad dan kesukaran akses ke lokasi kebakaran terus menjadi kekangan,” katanya.

Bagi menghadapi situasi tersebut, pihak bomba telah mempertingkat pemantauan terutama di kawasan tanah gambut serta menyediakan pelbagai aset termasuk jentera, lori tangki air berkapasiti besar dan peralatan khas.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta lebih bertanggungjawab bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin serius, selain tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Sumber: Bernama

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda