Skip to main content

Advertisement

Berita

TM Ambil Alih Hak Penamaan, Stadium Nasional & Stadium Putra Bukit Jalil Kini Bertukar Nama!

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan satu kerjasama strategik bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) yang melibatkan hak penamaan dua venue sukan ikonik negara di Bukit Jalil.

Melalui kerjasama tersebut, Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil kini secara rasmi dijenamakan semula dengan nama baharu:

  • TM Stadium Nasional – nama baharu bagi Stadium Nasional Bukit Jalil

  • Unifi Arena – nama baharu bagi Stadium Putra Bukit Jalil

Advertisement

Kerjasama strategik selama tiga tahun ini bertujuan memperkukuh kelestarian serta menaik taraf kemudahan stadium agar terus kekal relevan sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa.

Sebagai venue yang telah menyaksikan pelbagai detik bersejarah dan menyatukan jutaan rakyat Malaysia, kerjasama ini diharap mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada semua pengunjung. Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan memastikan kedua-dua stadium kebanggaan negara ini terus menjadi simbol kebanggaan nasional.

Untuk rekod, Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium terbesar di Malaysia dan sering menjadi lokasi utama bagi perlawanan bola sepak, kejohanan sukan besar serta konsert artis antarabangsa. Manakala Stadium Putra Bukit Jalil, yang kini dikenali sebagai Unifi Arena, pula terkenal sebagai venue bagi acara sukan tertutup seperti badminton, bola keranjang, selain pelbagai acara hiburan berskala besar.

Dengan penjenamaan baharu ini, kompleks sukan Bukit Jalil dijangka terus menjadi tumpuan utama penganjuran acara sukan dan hiburan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi acara bertaraf dunia.

Sumber: Perbadanan Stadium Negara

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda