Skip to main content

Advertisement

Berita

Pemandu Mabuk dan Positif Dadah Direman 4 Hari Selepas Rempuh Penunggang Motosikal Hingga Maut

Gambar: BERNAMA

Seorang lelaki berusia 20-an direman empat hari selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam nahas tragik di Jalan Raya Barat di sini, semalam.

Advertisement

Perintah tahanan reman sehingga Khamis dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat selepas suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk proses reman. Suspek hadir di mahkamah dengan memakai baju-T berkolar putih dan seluar pendek kelabu, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey, insiden berlaku sekitar jam 11.40 pagi semalam dan mengakibatkan kematian mangsa, seorang lelaki berusia 30-an, yang tercampak ke atas bumbung kereta lain sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kereta Honda City yang dipandu suspek menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya, dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa,” kata ACP Lim.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi yang berada di lorong bertentangan dan tragisnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakaman video insiden yang tular di media sosial menunjukkan kereta dipandu laju dan memotong di garisan berkembar sebelum merempuh motosikal tersebut, menyebabkan penunggangnya melambung ke udara dan tercampak ke atas kenderaan lain.

ACP Lim menegaskan pihak polis sedang meneliti rakaman video berkenaan dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan supaya tampil membantu siasatan.

Sumber: BERNAMA

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda