Foto: Gempak
Stesen radio Islamik kontemporari di bawah Astro Audio, ZAYAN, mencuri perhatian di persidangan Radiodays Asia 2025 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 1 hingga 3 September lalu.
Advertisement
Acara berprestij itu menghimpunkan penggiat industri radio dan audio dari seluruh dunia, sekali gus membuka ruang penting buat ZAYAN memperkenalkan pendekatan kandungan Islamik moden yang segar, inklusif dan relevan dengan gaya hidup masyarakat masa kini.
Pengurus Saluran ZAYAN, Wan Syahrul Amry bin Wan Mansor, berkata kekuatan ZAYAN terletak pada kemampuan menyeimbangkan hiburan dengan mesej bermanfaat yang dekat di hati generasi muda.
“Di ZAYAN, kami percaya kandungan Islamik boleh disampaikan secara segar dan inklusif. Melalui pendekatan kontemporari, kami bukan sahaja menyebarkan mesej positif, malah membina komuniti yang saling menyokong serta memperkasa,” katanya.
Dengan gabungan muzik, motivasi, perkongsian ilmu dan interaksi bersama pendengar, ZAYAN tampil bukan sekadar sebagai saluran hiburan, tetapi juga medium dakwah moden yang progresif.
Kehadiran ZAYAN di Jakarta turut menarik minat delegasi dari negara berpopulasi Muslim besar seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan rantau Timur Tengah. Model yang dibawa ZAYAN dilihat sebagai contoh berkesan dalam pembangunan stesen radio Islamik di negara masing-masing.
Radiodays Asia yang kali ini berpusat di Jakarta menjadi platform penting perbincangan serantau melibatkan pemimpin industri, pakar kandungan dan inovator teknologi. Penyertaan ZAYAN sekali lagi membuktikan kandungan Islamik kontemporari berpotensi bersaing di peringkat global, selain membuka peluang kerjasama serta pertukaran ilmu dengan pemain industri antarabangsa.
ZAYAN kekal komited memperkukuh peranan sebagai peneraju radio Islamik kontemporari di Malaysia dan Asia dengan menyajikan kandungan yang membina, menyentuh jiwa serta memberi inspirasi kepada pendengar.
Sumber: Gempak