Foto: Sinar Harian
Mahkamah Tinggi memerintahkan bayaran pampasan keseluruhan RM1.43 juta kepada 17 waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan 14 bekas pelajar susulan saman sivil yang difailkan terhadap pemilik pusat tahfiz berkenaan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan MAIWP.
Advertisement
Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad Said membenarkan sebahagian tuntutan plaintif dan memutuskan wujud kecuaian dalam memastikan tahap keselamatan penghuni bangunan ketika kejadian.
Dalam penghakimannya, beliau menegaskan bahawa keputusan dibuat berdasarkan undang undang dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah.
“Keputusan mahkamah bergantung kepada pembuktian. Mahkamah tidak boleh sewenang wenangnya membuat keputusan berdasarkan emosi dan kesesuaian, tetapi berpaksikan undang undang sedia ada serta beban untuk membuktikan tuntutan adalah kepada pihak plaintif,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal tanggungjawab dalam kes berkenaan.
“Tidak dinafikan oleh mana mana pihak bahawa kebakaran berlaku, kematian dan kecederaan berlaku. Jadi siapa bertanggungjawab?
“Pihak defendan tidak mengaku bertanggungjawab tetapi semua menyatakan ia akibat aktiviti jenayah yang sudah diputuskan oleh mahkamah jenayah. Kes ini membabitkan tuntutan sivil dan siapa sebenarnya cuai serta bertanggungjawab,” katanya lagi.
Mahkamah mengarahkan pemilik pusat tahfiz, Mohd Zahid Mahmood dan isterinya Samsurini Mohd Anuwi bersama MAIWP membayar ganti rugi kesedihan sebanyak RM10,000 kepada setiap waris yang kehilangan anak. Selain itu, kos RM20,000 turut diperintahkan dibayar kepada setiap plaintif.
Jumlah keseluruhan pampasan tersebut merangkumi ganti rugi teladan dan teruk sebanyak RM500,000 yang perlu ditanggung bersama oleh ketiga tiga defendan serta ganti rugi nominal RM30,000 kepada setiap plaintif.
Bagaimanapun, tuntutan berkaitan trauma, kecederaan dan tekanan emosi serta wang sumbangan orang awam yang diterima pusat tahfiz berkenaan tidak dibenarkan.
“Ia tidak dapat dibuktikan oleh plaintif bahawa wang yang masuk bertujuan untuk pembahagian kepada plaintif, tambahan pula dimasukkan dalam akaun persendirian,” jelasnya.
Hakim turut merumuskan bahawa tiada nilai yang benar benar mampu menggantikan kehilangan nyawa.
“Kesimpulannya, tiada amaun dapat menggantikan kehilangan namun mahkamah berpandangan jumlah pampasan dapat diberikan melalui ganti rugi nominal yang bersesuaian,” katanya.
Peguam Mohaji Selamat yang mewakili semua plaintif memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Beliau dibantu Mohamad Azli Arba’ai, Muhammad Asif Zahari dan Muhammad Hadi Nafiz Mohammad Din.
Pemilik pusat tahfiz diwakili Datuk Ahmad Zaharil Muhayar bersama Nurul Syamimi Norazlan manakala MAIWP diwakili Fakhrul Azman Abu Hasan, Nooron Aini Zakaria dan Nurfaiqa Fakhrul Azman.
Saman itu difailkan pada Jun 2018 dengan dakwaan kecuaian termasuk kegagalan menyediakan peralatan pencegahan kebakaran di laluan keluar asrama, tidak menyediakan dua laluan kecemasan serta membenarkan bangunan tanpa Sijil Penyiapan dan Pematuhan digunakan sebagai asrama.
Kebakaran yang berlaku sekitar jam 5.15 pagi pada 14 September 2017 di Kampung Datuk Keramat mengorbankan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar selepas mereka terperangkap dalam kebakaran tersebut.
Pada 21 Mac 2024, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman terhadap seorang lelaki yang berusia 16 tahun ketika kejadian selepas disabitkan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan. Dia diperintahkan ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di Pertuan Agong dan rayuannya sebelum ini turut ditolak.
Sumber: Sinar Harian