
BALING: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori treler dalam kemalangan di jalan baru Kulim-Baling di sini, tengah malam tadi.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata dalam kejadian 12.10 tengah malam tadi, mangsa Hassim Ahmad, 68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Kuang, dekat sini, tiba di Simpang Tiga Jerai, dan mangsa dipercayai keluar dari sebelah kiri (jalan) secara mengejut untuk masuk ke kanan jalan.
“Sebuah lori treler ketika itu sedang bergerak dari Kota Bharu, Kelantan untuk menghantar barang ke Pulau Pinang tidak sempat menekan brek lalu melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu motosikal mangsa terseret sejauh 10 meter dan mangsa tercampak ke kiri jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu dan kelindan lori bagaimanapun tidak mengalami kecederaan manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber Berita Al-Hijrah