
Sehingga hari ini, keadaan jerebu di beberapa tempat menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan. Ada sesetengah tempat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sudah mencecah paras kurang sihat.
Advertisement
Sehubungan dengan itu, pihak UiTM dalam satu kenyataan telah mengumumkan akan menangguhkan sesi kuliah di kesemua 35 cawangan institusinya seandainya bacaan IPU terus meningkat dan melebihi 250.
"Sebarang keputusan rasmi penangguhan sesi kuliah hanya akan dibuat sekiranya bacaan IPU melebihi 250 dan keputusan rasmi penutupan kampus pula akan dikeluarkan apabila bacaan IPU melebihi 300," kata kenyataan itu.
Buat masa sekarang, penangguhan yang bakal melibatkan lebih kurang 18,000 pelajar masih belum dilaksanakan dan pihak UiTM akan mengemaskini perkara itu dari semasa ke semasa.
Berdasarkan Jabatan Alam Sekitar ssehingga pukul 11 pagi ini, bacaan IPU di Shah Alam mencapai tahap sangat tidak sihat iaitu 219, selain Petaling Jaya (206), Johan Setia, Klang (257) manakala kawasan lain mencapai bacaan tidak sihat iaitu Kuala Selangor (191), Klang (198) dan Banting (180).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Sumber: Astro Awani