Foto sekadar hiasan
Tahukah anda, bentuk dan kapasiti pelvis wanita memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang mampu melahirkan bayi secara normal atau tidak?
Advertisement
Secara umumnya, terdapat empat jenis bentuk pelvis utama iaitu ginekoid, android, antropoid dan platypelloid, dan setiap satunya memberi kesan berbeza terhadap proses kelahiran.
Ramai wanita hamil berhasrat untuk melahirkan bayi secara semula jadi tanpa bantuan perubatan atau pembedahan caesarean (czer). Namun, tidak semua berpeluang melaluinya disebabkan oleh faktor anatomi dan komplikasi tertentu.
Kapasiti Pelvis Penentu Mudah Atau Sukar Bersalin
Seorang wanita berkongsi di platform Threads bahawa doktor menjelaskan kepadanya tentang perbezaan kapasiti pelvis antara setiap wanita.
Katanya, tiada istilah “tak pandai teran” kerana setiap wanita memiliki struktur dan ruang pelvis yang berbeza.
Jika laluan tulang pinggul terlalu sempit, ia boleh menyebabkan proses kelahiran menjadi sukar, walaupun ibu sudah berusaha sepenuhnya.
Beberapa wanita turut berkongsi pengalaman masing-masing yang akhirnya terpaksa melalui pembedahan czer walaupun sudah mengalami bukaan serviks.
Ada juga yang mendapati pakar terapi postur mampu mengenal pasti wanita yang pernah bersalin dengan mudah berdasarkan bentuk pelvisnya.
Foto sekadar hiasan
Komplikasi CPD: Kepala Bayi Tidak Muat Keluar
Dalam kes tertentu, ada ibu hamil yang berdepan dengan cephalopelvic disproportion (CPD), iaitu keadaan di mana kepala bayi terlalu besar atau pelvis ibu terlalu kecil untuk dilalui bayi.
Antara punca CPD termasuk:
• Kepala bayi yang besar.
• Posisi bayi tidak normal, contohnya mengiring ketika masuk ke pelvis.
• Bentuk pelvis ibu yang sempit atau tidak normal.
Keadaan ini biasanya dikesan apabila proses bersalin berlarutan terlalu lama. Ibu mungkin mengalami lebih 20 jam proses kelahiran untuk anak pertama, atau lebih 14 jam bagi anak seterusnya.
Antara tanda kelahiran normal tidak dapat diteruskan termasuk kepala bayi tidak turun ke bawah, pengecutan rahim tidak kuat, dan bukaan serviks yang lambat.
Foto: Healthline
Empat Jenis Bentuk Pelvis Wanita
1. Ginekoid
Bentuk paling biasa dan dianggap paling ideal untuk kelahiran semula jadi. Ia berbentuk bulat dan terbuka, membolehkan bayi keluar dengan lebih mudah.
2. Android
Mirip bentuk pelvis lelaki, lebih sempit dan menyerupai bentuk hati. Disebabkan ruangnya kecil, wanita dengan bentuk ini mungkin menghadapi kesukaran melahirkan bayi secara normal dan berisiko mengalami CPD.
3. Antropoid
Pelvis ini berbentuk bujur memanjang seperti telur berdiri. Ia memberi ruang lebih besar dari depan ke belakang tetapi sedikit sempit di sisi. Proses kelahiran mungkin masih boleh berlaku secara normal, namun mengambil masa lebih lama.
4. Platypelloid
Juga dikenali sebagai pelvis rata dan paling jarang ditemui. Ia lebar tetapi tidak dalam, menjadikan laluan bayi sukar untuk dilalui secara semula jadi. Kebanyakan wanita dengan bentuk ini memerlukan pembedahan czer.
Bentuk pelvis boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan doktor, imbasan ultrasound atau sinar-X ketika tidak hamil. Namun, pakar menegaskan bahawa bentuk pelvis hanyalah salah satu faktor yang mempengaruhi proses kelahiran, banyak elemen lain seperti posisi bayi, kekuatan kontraksi dan faktor kesihatan ibu juga memainkan peranan penting.
Sumber: Thread, Kementerian Kesihatan Malaysia