Foto: Facebook
Bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan umat Islam kerana padanya terkandung ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Selain menahan diri daripada makan dan minum, ramai juga mengambil peluang memperbanyakkan ibadah agar setiap amalan diterima Allah SWT.
Advertisement
Namun dalam menjalani ibadah puasa, ada kalanya timbul persoalan yang membuatkan seseorang berasa was-was, khususnya melibatkan perkara yang berlaku tanpa dirancang.
Antaranya, situasi apabila seseorang tertelan sisa makanan yang masih berbaki di dalam mulut ketika sedang berpuasa.
Isu ini pernah dirujuk kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam soalan yang diajukan, individu tersebut memaklumkan bahawa ketika sedang berpuasa dan menunaikan solat Asar, dia terasa ada sesuatu pada lelangit mulutnya ketika membaca surah al-Fatihah.
Disebabkan ingin menghabiskan bacaan, dia tidak terus meludahkannya. Namun selepas selesai dan diperiksa semula, sisa tersebut sudah tiada. Dia kemudian tertanya-tanya sama ada puasanya terbatal atau tidak.
Menurut penjelasan pihak Mufti, sekiranya sisa makanan itu bercampur dengan air liur dan sukar dibezakan, serta tidak dapat dikeluarkan kerana keadaan tertentu seperti sedang solat, maka puasa berkenaan tetap sah. Ia tidak dikira sebagai perbuatan yang membatalkan puasa kerana berlaku tanpa disengajakan dan dalam keadaan yang menyukarkan.
Pandangan tersebut bertepatan dengan huraian Imam al Khatib al Syirbini dalam kitab Mughni al Muhtaj yang menjelaskan bahawa baki makanan di celah gigi yang tertelan bersama air liur secara tidak sengaja tidak membatalkan puasa jika sukar untuk dipisahkan atau dibuang.
Dalam keadaan itu, seseorang dianggap mempunyai keuzuran dan tidak cuai. Sebaliknya, jika dia mampu mengeluarkannya tetapi tidak berbuat demikian, maka puasa boleh terbatal atas sebab kecuaian sendiri.
Selain itu, pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus turut memberikan penjelasan berhubung perkara sama. Katanya, puasa tidak batal jika seseorang sudah berusaha mengeluarkan sisa makanan tersebut.
“Kalau dia dah cuba buang, tapi susah sebab halus sangat atau terselit celah gigi, kemudian tertelan tanpa sengaja, maka dimaafkan,” jelasnya.
Kesimpulannya, tertelan sisa makanan secara tidak sengaja dan dalam keadaan sukar dielakkan tidak membatalkan puasa. Apa yang penting, seseorang itu telah berusaha untuk membersihkannya dan tidak melakukannya dengan sengaja.
Sumber: YouTube Ustaz Azhar Idrus Official